SPRM tunggu pengisytiharan harta proksi Tun Daim

SPRM tunggu pengisytiharan harta proksi Tun Daim

DAIM ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam tindakan agar proksi mempunyai kaitan dengan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin supaya mengisytiharkan segala aset sama ada alih atau tidak alih dalam pegangan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Satu sumber memberitahu, notis pemakluman pengisytiharan harta telah diserahkan kepada individu terlibat untuk tindakan lanjut.

“Penyerahan notis itu selaras dengan Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009, setakat ini tindakan masih dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan telah mengenal pasti pemilikan aset-aset luar biasa membabitkan Daim bernilai tinggi di 11 negara dengan anggaran nilai melebihi RM3 bilion.

SPRM menerusi Bahagian Operasi Khas (BOK) sedang giat melaksanakan tindakan siasatan dan penguatkuasaan dalam kes berprofil tinggi memfokuskan kepada penyitaan dan pelucuthakan aset-aset luar biasa berkaitan dengan Daim, isterinya, Toh Puan Na’imah Khalid, ahli keluarga dan rangkaian sekutunya.

Kesemua harta berkenaan dikenal pasti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Jersey, Itali, Jepun, Indonesia dan beberapa negara di benua Afrika.

Kesemuanya dikenal pasti berdasarkan maklumat siasatan terkini hasil daripada kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasa di United Kingdom iaitu National Crime Agency (NCA) dan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC).

Dalam pada itu, SPRM memperoleh Perintah Halangan di bawah Seksyen 53, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Jun lalu terhadap tujuh aset dianggarkan bernilai RM758 juta yang berada di United Kingdom.

Selain itu, permohonan perintah halangan terhadap aset di Singapura dan Jersey juga telah difailkan melalui Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu dengan pendengaran permohonan berlangsung pada 23 dan 25 Jun lalu.

Antara aset yang terlibat iaitu empat akaun bank dan pelaburan bernilai RM1.15 bilion di Jersey dan dua belas akaun bank dan pelaburan bernilai RM540 juta (Singapura).

Dalam pada itu, di peringkat domestik, SPRM telah memperoleh perintah penyitaan terhadap Menara Ilham pada 4 Jun lalu di bawah Seksyen 56, AMLATFPUAA 2001 dan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN