PETALING JAYA: Perluasan kemudahan pembelajaran melalui perniagaan francais antara kaedah yang mampu meningkatkan akses pendidikan di seluruh negara.
Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, francais yang dilaksanakan dengan betul bukan sekadar menjadi model perniagaan, tetapi turut memberi impak sosial secara meluas.
“Bila kita francaiskan satu idea yang baik, kita gandakan manfaatnya, bukan sekadar keuntungan, tetapi juga dari segi capaian, kebolehcapaian dan peluang,” katanya pada Majlis Perasmian Francais Yelaoshr, hari ini.
Jelasnya, menerusi kaedah francais yang dilakukan oleh Yelaoshr, ini mempunyai 66 cawangan atau pemegang francais di seluruh negara mampu berkembang melalui rangkaian model perniagaan itu di seluruh negara.
Kata Radzali, seperti yang dilakukan oleh Yelaoshr, ia membuka peluang atau landasan kepada usahawan pendidikan untuk membuka pusat pembelajaran berkualiti di kawasan komuniti di seluruh negara.
“Perluasan itu digerakkan oleh gabungan dinamik pemegang-pemegang francais yang terdiri daripada para pendidik, ibu bapa dan usahawan baharu, yang semuanya berkongsi komitmen untuk menjadikan pendidikan bersifat peribadi lebih mudah diakses.
“Penyertaan mereka membuktikan keyakinan pasaran terhadap model YelaoShr dan menyokong pertumbuhan mampan melalui pemilikan tempatan dan sistem sokongan standard,” ujarnya.
Sementara itu, Yelaoshr dalam kenyataannya menyatakan sasaran membuka 300 cawangan baharu di seluruh negara selain peluang di pasaran serantau seperti Thailand, Cambodia dan Singapura.
“Empat entiti utama menjadi tunjang kepada ekosistem YelaoShr iaitu YelaoShr Education Group Sdn. Bhd. yang menawarkan program bahasa dan komunikasi yang diiktiraf Kementerian Pendidikan; YelaoShr Education Academy Sdn. Bhd. memacu latihan guru dan inisiatif TVET; Sribhagawan Innovation Group Sdn. Bhd. membangunkan teknologi pendidikan eksklusif.
“Manakala ClassOne Elearning Education Sdn. Bhd. membolehkan pembelajaran digital merentas sempadan. Kesemua entiti itu memperkukuh matlamat untuk mengembangkan cawangan kepada 300 pusat pembelajaran di seluruh negara menjelang 2028, serta mengintai peluang ke pasaran serantau,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yelaoshr, Dr. David Yap Wing Fai memberitahu, ia adalah misi pemberdayaan untuk memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya para wanita, pendidik dan golongan profesional muda untuk memiliki dan mengendalikan pusat pendidikan dengan sistem disokong sepenuhnya oleh ibu pejabat dan memberi impak. – UTUSAN










