PARLIMEN: Kerajaan kaji pinda Akta Pengurusan Strata 2013, perkasa kuasa JMB 

PARLIMEN: Kerajaan kaji pinda Akta Pengurusan Strata 2013, perkasa kuasa JMB 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk meminda Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi memperkasa kuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) dalam memastikan pengurusan bangunan kediaman bertingkat yang lebih cekap dan berkesan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, antara aspek sedang diperhalusi menerusi sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk penetapan kadar caj penyelenggaraan dan pengurusan kontrak bangunan strata.

Menurut beliau, di bawah akta sedia ada, hanya MC dibenarkan menetapkan kadar caj berbeza (differential rate) manakala JMB hanya boleh mengenakan kadar tunggal (single rate) menyebabkan beberapa kes dibawa ke mahkamah. 

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mempertimbangkan penyeragaman kuasa antara JMB dan MC bagi memastikan kadar yang ditetapkan lebih adil dan saksama. 

“Pada masa sama, kerajaan turut meneliti keperluan membenarkan JMB mengadakan kontrak perkhidmatan melebihi tempoh 12 bulan khususnya bagi perolehan berimpak tinggi seperti pemasangan panel solar dan pengecas kenderaan elektrik yang memerlukan kos pelaburan lebih tinggi,” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berhubung status terkini berkaitan keperluan pemberian lebih kuasa kepada pengurusan JMB dalam mengurus bangunan kediaman bertingkat (milik strata).

Kor Ming berkata, KPKT juga sedang menimbangkan peningkatan kadar denda maksimum yang boleh dikenakan oleh pihak pengurusan terhadap pemilik yang ingkar. 

Jelas beliau, ketika ini, kadar maksimum yang dibenarkan hanya RM200 bagi setiap kesalahan, sedangkan kos tindakan undang-undang jauh lebih tinggi. 

“Dalam usaha memastikan pematuhan pembayaran caj penyelenggaraan, terdapat cadangan untuk memberi kuasa tambahan kepada JMB dan MC dalam mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemungkir bayaran seperti sekatan kad akses, sitaan harta alih dan larangan penggunaan fasiliti bersama,” jelasnya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN