ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyatakan masih terlalu awal untuk beliau menjadi Naib Presiden Pas walaupun menerima sokongan pemimpin tertinggi parti itu.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu berkata, beliau setakat ini belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu menerima atau menolak pencalonan itu sekiranya diusulkan mana-mana kawasan.
“Saya belum buat keputusan kalau ada pencalonan saya akan pertimbangkan tapi dua kali dah saya tarik diri. Saya rasa jawatan dalam parti ini orang akan tentukan, bukan saya.
“Saya tak pernah tawar diri untuk bertanding sampai sekarang ini pun, jadi saya akan pertimbang adakah perlu saya berada di situ, kalau ada orang lain lebih layak bagilah dia sebab saya muda lagi baru 51 tahun.
“Saya rasa ada orang lebih layak patut berada di situ jadi bagilah dia, saya tak ada masalah jadi orang lebih bawah. Bagi orang yang ada keupayaan, kelayakan, mulut tak capoi (cakap lepas) berada di situ tapi orang bermulut capoi kena ada juga,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan logo Sukan Kedah Darul Aman (Sukda) ke-7 2025 di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, beliau secara terbuka bersetuju jika Muhammad Sanusi terpilih sebagai Naib Presiden Pas.
Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu layak diketengahkan sebagai Naib Presiden Pas kerana mempunyai rekod cemerlang sebagai Menteri Besar Kedah di samping mempunyai pengaruh dalam parti.
Muhammad Sanusi berkata, beliau belum menerima apa-apa perkara berkaitan pencalonan itu sehingga kini yang biasanya hanya akan dimaklumkan secara rasmi selepas proses pencalonan ditutup.
“Jawatankuasa Pemilihan Parti akan maklum ‘tuan telah dicalonkan jawatan sekian-sekian dan telah menerima sebanyak sekian pencalonan, adakah tuan sedia bertanding’. Dua tahun lepas saya pangkah tidak bersedia.
“Tahun ini saya akan pertimbang perlu atau tidak kalau ada orang lebih baik, lebih layak saya akan berkempen untuk beliau. Pas tak macam parti lain, kita tak berebut sehingga berhenti jawatan menteri,” ujarnya.
Mengulas sama ada ketiga-tiga Naib Presiden sedia ada iaitu Datuk Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar perlu dikekalkan, beliau menjelaskan mereka mempunyai kelebihan masing-masing dalam parti.-UTUSAN











