PARLIMEN: Hotel terbiar di R&R lebuh raya dimanfaatkan semula

PARLIMEN: Hotel terbiar di R&R lebuh raya dimanfaatkan semula

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bangunan hotel terbiar di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan akan dimanfaatkan semula menerusi pelbagai inisiatif bagi menjadikannya lebih bermanfaat dan mesra pengguna.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bangunan hotel yang tidak lagi beroperasi itu berada di bawah seliaan syarikat konsesi Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) dan sebelum ini ditutup berikutan ketidakupayaan untuk menjana pulangan komersial yang berdaya saing.

“Operasi hotel tersebut sebelum ini tidak berdaya maju serta tidak memberi pulangan setimpal dari aspek komersial.

“Justeru, kerajaan telah melakukan penelitian semula bagi mengenal pasti potensi penggunaan semula bangunan terbabit untuk tujuan yang lebih bersesuaian dan memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN–Kuala Pilah).

Menurut Alexander, antara pendekatan strategik yang diambil termasuk memasukkan penggunaan semula bangunan hotel ke dalam pelan pembangunan semula dan naik taraf kawasan R&R serta hentian sebelah yang sedang dilaksanakan oleh PLUS.

Katanya, sebagai contoh, kerja-kerja naik taraf R&R Seremban (Arah Selatan) yang kini dikenali sebagai R&R Lestari pertama di Malaysia telah memperkenalkan pelbagai kemudahan baharu seperti surau, tandas, ruang niaga dan pertambahan parkir demi keselesaan pengguna.

“Selain itu, pembangunan hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) berkelajuan pantas juga dirancang untuk dilaksanakan di bangunan hotel R&R Ayer Keroh (Arah Utara) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh infrastruktur mesra alam sekitar,” ujarnya.

Tambah beliau, projek pembangunan semula turut membabitkan ruang niaga baharu di R&R Seremban (Arah Utara) dan R&R Gunung Semanggol (Arah Selatan) yang memperkenalkan kemudahan lebih baik dan mesra pengguna.

“KKR yakin melalui pendekatan bersepadu ini, bangunan hotel yang tidak lagi beroperasi dapat dimanfaatkan semula sebagai fasiliti yang lebih baik untuk pengguna lebuh raya, sekali gus merangsang pembangunan ekonomi setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×