KUALA LUMPUR: Tanpa kedai besar atau pendingin hawa seperti butik jam mewah, Muhammad Khairael Kishore, 30, tetap setia membaiki jam di bawah khemah kecilnya di kaki lima Taman Sri Gombak dekat sini.
Mewarisi pertukangan jam itu daripada moyangnya yang memulakan perniagaan membaiki jam sebelum ia diteruskan oleh datuk, bapanya dan kini diwarisi oleh tiga beradiknya.
“Saya mula berniaga sendiri sejak umur 19 tahun, tetapi memang dari kecil sudah mengikuti ayah pergi berniaga. Sabtu, Ahad memang rutin kami adik-beradik ikut ke tapak niaga dan belajar membaiki jam.
“Tiga daripada adik beradik termasuk saya berkecimpung dalam bidang pertukangan jam ini. Ada yang membuka kedai dan ada yang membuka ‘carboot sale’ dan sendiri melakukannya di bawah khemah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, dia juga berpengalaman membaiki jam tangan mewah berjenama antarabangsa yang boleh mencecah harga belasan ribu ringgit, meskipun berniaga di ruang kaki lima tanpa sebarang papan tanda eksklusif.
“Cuma ada juga pelanggan yang tidak mengaku jamnya mahal kerana mungkin tidak mahu dikenakan caj berlebihan. Itu antara cabaran biasa bagi tukang jam di kedai kecil seperti saya,” katanya.
Mengenai persepsi orang ramai terhadap kerjanya yang dilakukan di tepi jalan, Muhammad Khairael berkata, beliau tidak pernah rasa malu atau rendah diri, sebaliknya sentiasa bersyukur kerana dihargai oleh pelanggan tetap yang menyokongnya sejak awal.
Katanya, meskipun pernah bekerja makan gaji, jiwanya tetap cenderung kepada perniagaan membaiki jam yang diwarisi meskipun pendapatannya sekadar RM4 hingga RM100 setiap jam bergantung kepada kerosakan.
“Saya jumpa ramai pelanggan yang menghargai kerja saya, dan itu memberi semangat untuk saya teruskan. Saya anggap ini satu permulaan.
“Mungkin 10 tahun lagi saya ada kedai sendiri, tetapi buat masa ini saya cuba buat sebaik mungkin dengan apa yang ada,” katanya.
Menurutnya, momen paling bermakna sepanjang bergelar tukang jam adalah apabila mendapat sokongan daripada pelanggan tetap, termasuk seorang bekas pemain bola sepak ternama yang tinggal berhampiran lokasi niaganya.
“Dia selalu datang baiki jam dengan saya dan sokong bisnes kecil saya ini. Walaupun dia sangat terkenal, tetapi dia sudi menggunakan khidmat saya,” katanya.
Muhammad Khairael berkata, pengalaman dalam bidang tersebut banyak mendewasakannya kerana bukan semua jam boleh dibaiki dan ada juga permintaan pelanggan yang terpaksa ditolak kerana tahap kerosakan terlalu rumit untuk ditangani.
“Tetapi saya anggap itu sebagai cabaran. Saya masih belajar dan masih jauh perjalanan. Semua ini saya dapat sebab ayah saya yang tak pernah jemu mengajar anak-anak. Isteri saya pun banyak membantu dan sentiasa ada dari mula,” katanya. – UTUSAN











