PETALING JAYA: Kemenangan moral yang dicari pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao akhirnya berjaya ditemui selepas mengejutkan Kenta Nishimoto yang menghuni ranking No. 13 dunia pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka China di Jiangsu, China, hari ini.
Jun Hao yang berada di ranking ke-26 dunia melakar kemenangan straight set 21-15, 21-18 ke atas pemain Jepun itu yang mengambil masa selama 45 minit.
Anak jati Kuala Lumpur berusia 26 tahun itu kali terakhir bertemu Nishimoto ialah pada Terbuka Switzerland, Mac lalu yang menyaksikan Jun Hao tewas.
Namun, kali ini dia akhirnya berjaya meraih kemenangan yang dicari-cari selama ini selepas ditimpa kemerosotan prestasi.
Khamis ini, Jun Hao bakal berdepan laluan yang lebih sukar apabila dijadual menentang bintang No. 1 dunia, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand pada peringkat 16 terbaik.
Jun Hao berkata, hari ini, dia berjaya mengawal stadium dengan baik dan kemenangan tersebut boleh disifatkan sebagai satu kemenangan yang agak besar buat dirinya.
“Kali ini persembahan saya agak berbeza, saya berjaya mengawal permainan dengan baik, sudah tentu kemenangan ini berjaya meningkatkan keyakinan dan saya perlu bersedia berdepan Kunlavut,” katanya ketika ditemu bual wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan tamat.
Katanya lagi, bertemu Kunlavut sudah tentu bakal menghadirkan tekanan buat dirinya, tetapi, buat masa ini, dia hanya mahu mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum bersedia turun kembali ke gelanggang.
“Saya gembira perancangan permainan saya berjaya dan jurulatih, Kenneth (Jonassen) sering meminta saya kuatkan mental kerana cara tersebut akan membantu saya bermain dengan baik,” katanya.
Ketika ditanya mengenai corak latihan yang diterapkan pengendali kelahiran Denmark itu, Jun Hao berkata, Jonassen mempunyai gaya yang berbeza dan sejak kehadiran jurulatih itu dia sememangnya memerlukan masa untuk mendapatkan keserasian.
Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, pasangan ke-53 dunia, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri tewas mudah kepada beregu eksperimen Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri 11-21, 10-21 dalam masa 23 minit. – UTUSAN










