Premis, program kerajaan perlu patuh peraturan halal

Premis, program kerajaan perlu patuh peraturan halal

SIRAJUDDIN Suhaimee (tengah) pada Majlis Perasmian Seminar Halal dan Fatwa (Sehalwa) 2025 Peringkat Kebangsaan di Nilai, Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Kewangan telah meletakkan syarat supaya setiap premis atau program kerajaan mematuhi prosedur dan peraturan halal dalam penyediaan makanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, siasatan terperinci akan dijalankan berhubung penganugerahan kontrak ka­tering bernilai RM25.64 juta oleh Hospital Can­selor Tuanku Muhriz (HCTM) kepada sebuah sya­rikat yang tidak memiliki pensijilan halal.

Beliau berkata, pelantikan syarikat perkhidmatan katering dan penyajian makanan di premis kerajaan perlu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan melalui sistem perolehan.

Katanya, Jakim tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak sebelum maklumat lanjut diperoleh, kerana ada kemungkinan wujud kekeliruan mengenai isu itu.

“Kuasa itu terletak pada autoriti agensi berkenaan dan Kementerian Kewangan telah letakkan syarat. Contohnya, macam program hari ini oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai Spring, USIM perlu pastikan pihak hotel ada sijil halal baru boleh dijalankan program.

“Kami pun sedang mendapatkan maklumat lebih terperinci bagaimana kita boleh bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk menangani isu ini bersama secara harmoni.

“Maksudnya, kita tidaklah menyalahkan terus pihak berkaitan, namun kita akan lihat dengan cara terbaik bagaimana hendak mengatasi isu lantikan syarikat yang tidak dipersijilkan halal untuk mengusahakan katering atau yang menyajikan makanan di premis itu (HCTM),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Muka hadapan Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan, syarikat itu yang dikenal pasti sebagai 0267299-T memperoleh tender membekalkan makanan kepada pesakit di HCTM dari Februari 2024 hingga Februari 2027.

Menurut laporan itu, perolehan tender tersebut bertujuan ‘menyediakan sajian makanan yang halal kepada pesakit HCTM bersesuaian status Dapur Utama yang mendapat pensijilan halal daripada Jakim’.

Ditanya sama ada semua hospital kerajaan perlu memastikan pengendali makanan dilantik mempunyai sijil halal, beliau berkata, ia berkaitan dengan prosedur perolehan dan Jakim bersedia membuat pengesahan halal sekiranya diminta.

Mengulas perkembangan siasatan program motivasi rumah tangga eHati, Sirajuddin berkata, Jakim tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dibimbangi menganggu proses siasatan.

“Siasatan sedang dilaksanakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama pihak polis dan kita tunggu hasilnya nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini