JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) wajar bertanding secara solo di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar dan DUN Skudai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Iskandar Puteri, Dzulkefly Ahmad berkata, tiada masalah sekiranya PH berdepan saingan tiga penjuru di situ termasuk menentang Barisan Nasional (BN).
Katanya, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kawasan pada 20 Julai lalu.
“Tindakan itu sama sebagaimana dilakukan ketika PRN Johor terdahulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada PRN Johor 2022, DUN Kota Iskandar dimenangi BN dengan majoriti 4,360 undi manakala DUN Skudai menjadi milik PH dengan majoriti 13,943 undi.
Dzulkefly berkata, langkah itu merupakan kesungguhan Amanah dalam memperkukuh kedudukan parti di Johor dan PH di kawasan strategik sedemikian.
“Sebarang rundingan politik dalam PRN Johor akan datang mestilah mengambil kira kekuatan akar umbi dan kemampuan calon di setiap kawasan DUN negeri ini. Amanah akan berjuang membawa agenda perpaduan rakyat, melakukan reformasi terhadap institusi dan merencana pembangunan mampan demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN











