Parlimen: Nga Kor Ming tuntut pihak dakwa MyKiosk 'gajah putih' mohon maaf

Parlimen: Nga Kor Ming tuntut pihak dakwa MyKiosk ‘gajah putih’ mohon maaf

KERAJAAN mengakui terdapat kelemahan dalam pelaksanaan projek MyKiosk tetapi penambahbaikkan sentiasa dilakukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menuntut permohonan maaf daripada pihak yang menuduh projek MyKiosk sebagai projek ‘gajah putih’.

Tegas beliau, kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini yang mengesahkan tiada unsur salah guna kuasa, jenayah atau rasuah dalam pelaksanaan projek tersebut membuktikan dakwaan itu tidak berasas.

“Dulu ada pihak kata ini projek ‘gajah putih’. Disebabkan itu, kementerian sendiri ambil inisiatif jemput SPRM siasat. SPRM tidak datang, kami pula pergi ke SPRM.

“Kami serah semua dokumen dan maklumat untuk disiasat. Minggu lalu, SPRM keluarkan kenyataan bahawa tiada salah guna kuasa, tiada unsur jenayah dan tiada unsur rasuah.

“Maka siapa yang lempar batu jangan sembunyi tangan. Saya tuntut supaya mereka yang membuat tohmahan dan fitnah ini tampil mohon maaf kepada warga KPKT yang bekerja siang malam membantu rakyat,” katanya dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Kor Ming berkata, penjawat awam yang bertungkus-lumus melaksanakan dasar kerajaan tidak wajar difitnah, sebaliknya perlu dihargai atas sumbangan mereka.

Menurut beliau, pihaknya mengakui terdapat kelemahan dalam pelaksanaan projek MyKiosk, namun penambahbaikan sentiasa dilakukan bagi memastikan ketelusan dan keberkesanannya.

“Tiada projek sempurna tetapi kita komited menambah baik dan memastikan setiap sen yang dibelanja memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kor Ming berkata, pengisian MyKiosk@KPKT bagi tahun 2023 sehingga Julai lalu telah mencapai 91.75 peratus iaitu melibatkan 2,926 unit.

Sementara itu, bagi MyKiosk 2.0 tahun lalu, sebanyak 3,518 unit atau 86.78 peratus telah diisi.

Pada 4 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tiada sebarang elemen jenayah dikesan dalam siasatan berhubung dakwaan penyelewengan tender pembinaan MyKiosk oleh KPKT. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×