KUALA LUMPUR: Sekumpulan aktivis dan mahasiswa daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun dan berarak ke bangunan Parlimen di sini bagi menyerahkan memorandum untuk menuntut Reformasi Akta Perhimpunan Aman 2012 dan pemansuhan Akta Hasutan.
Himpunan bermula kira-kira 11 pagi yang dianjurkan gerakan kumpulan digelar Mandiri yang disertai oleh aktivitis-aktivis daripada Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Lawyers of Liberty, Bersih, gerakan mahasiswa, Amnesty Malaysia, Federasi Pemuda Kebangsaan, Pusat KOMAS, Muda, Article 19, WAO, Sisters In Islam (SIS), Justice for Sisters + friends dan Centre of Independent Journalism (CIJ).
Himpunan yang disertai oleh seramai 30 orang itu diketuai Penyelaras MandiriI, Wong Kukui mula berarak dari Taman Tugu pada 11.10 pagi.
Meskipun hujan, kesemua peserta himpunan terbabit tetap berarak selama 15 minit ke bangunan Parlimen.
Tinjauan wartawan mendapati kira-kira 30 anggota polis berkawal kira-kira 200 meter dari pintu masuk bangunan Parlimen bagi memastikan himpunan berlangsung dengan aman dan tiada sebarang provokasi.
Bagaimanapun, berlaku sedikit kekecohan apabila mereka cuba melepasi kawalan keselamatan pihak polis iaitu kira-kira 200 meter dari bangunan Parlimen.
Wong Kukui ketika ditemui turut meluahkan rasa kecewa apabila dihalang pihak polis untuk menyerahkan memorandum kepada ahli Parlimen.
“Kami kecewa, sepatutnya hal begini tak berlaku di era Madani. Kami bukan nak masuk dalam (Parlimen), kami cuma nak serah memorandum di pintu pagar sahaja.
“Bukan niat kami nak buat kecoh tetapi kami hanya nak jumpa ahli-ahli Parlimen tanpa provokasi. Kami tahu rakyat di negara ini layak untuk sesuatu yang baik. Kami sedang memerhati dari jauh.
“Kebebasan suara bukan keistimewaan tetapi suatu janji kepada rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, selepas 20 minit kemudian, kelihatan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hadir di lokasi himpunan untuk menerima memorandum daripada wakil penganjur.
Sementara itu, Syed Saddiq berkata, beliau akan cuba mengangkat isu yang dibawa gerakan tersebut untuk dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat ini.
“Di situlah hak rakyat sentiasa terbela. Cuma harapan saya hari ini bukan setakat tentang Akta Perhimpunan Aman tetapi berkaitan dengan Akta Hasutan juga.
“Saya memang ingin mencadangkan supaya isu ini dibawa ke peringkat jawatankuasa hak dan kebebasan supaya ia diperhalusi selain dapat dibentangkan di dalam Parlimen dalam tempoh terdekat,” katanya.
Perhimpunan menuntut Reformasi Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Pemansuhan Akta Hasutan 1948 yang disertai lebih 14 badan bukan Kerajaan (NGO) termasuk beberapa gerakan mahasiswa. – UTUSAN











