Didakwa beri rasuah projek sewa generator

Didakwa beri rasuah projek sewa generator

LEE Kau Lik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memberi suapan wang tunai berjumlah RM2,000 sebagai upah mendapatkan projek penyewaan generator. - UTUSAN/ARIF HAMIZAN MISKON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi suapan wang tunai berjumlah RM2,000 sebagai upah mendapatkan projek penyewaan generator bernilai RM166,500, dua tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh, Lee Kau Lik, 63, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pengarah urusan sebuah syarikat telah secara rasuah memberikan suapan wang tunai RM2,000 secara pindahan dalam talian kepada seorang lelaki sebagai upah membantu syarikat tertuduh mendapatkan projek penyewaan generator bernilai RM166,500.

Kesalahan itu dilakukan di Public Bank Cawangan Tengkera (Jalan Ong Kim Wee) dalam daerah Melaka Tengah pada 5 November 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal kesalahan itu atau RM10,000 mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan ikat jamin sebanyak RM12,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan pencari nafkah tunggal dan menyara isteri serta anak, selain perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini