Kontrak kereta perisai RM7.878b berdepan risiko kerugian

Kontrak kereta perisai RM7.878b berdepan risiko kerugian

KERETA kebal utama (MBT) Pendekar PT-91 milik Tentera Darat Malaysia beraksi ketika sambutan Hari Merdeka baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Enam kontrak berjumlah RM7.878 bilion melibatkan kenderaan perisai Tentera Darat (TDM) berdepan risiko kerugian, berdasarkan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025.

Menurut laporan itu, enam kontrak berkenaan melibatkan perolehan kereta perisai Gempita, Pendekar, Adnan, Lipan Bara dan kenderaan tempur infantri (MIFV).

Laporan itu berkata, kelewatan dan kelemahan pentadbiran menjejaskan kesiapsiagaan TDM untuk menjadi sebuah angkatan darat yang moden serta berkeupayaan mempertahankan kedau­latan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara penemuan utama adalah kelewatan ketara dalam pembekalan 68 kenderaan Gempita oleh sebuah syarikat tempatan, menyebabkan denda sebanyak RM162.75 juta yang hanya dituntut pada 15 Januari 2025, iaitu 746 hari (dua tahun 15 hari) selepas kontrak tamat pada 31 Disember 2022.

“Audit juga mendapati kerajaan telah membuat bayaran penuh sebanyak RM7.52 bilion walaupun syarikat gagal mematuhi jadual penghantaran yang dipersetujui, manakala bon pelaksanaan kontrak berjumlah RM53.93 juta yang tamat pada 31 Disember 2024 juga dilihat tidak mencukupi untuk menampung jumlah denda,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu, kelewatan dalam perkhidmatan senggaraan, pembaikan serta pembekalan alat ganti bagi kenderaan Gempita, Adnan dan Pendekar dengan anggaran denda berjumlah RM1.42 juta masih belum dikenakan hingga akhir 2023, walaupun perkhidmatan lewat 227 hari.

ADS:D

“Laporan juga menegur pelaksanaan perolehan secara pecah kecil oleh beberapa pusat tanggungjawab (PTJ) yang melanggar peraturan kewangan, membabitkan pembelian terus dan sebut harga berjumlah RM107.54 juta bagi tempoh 2020 hingga 2023, sedangkan perolehan melebihi RM500,000 setahun sepatutnya melalui tender terbuka,” katanya.

Selain itu, ketiadaan kontrak utama bagi beberapa jenis kenderaan seperti MIFV dan Lipan Bara dalam tempoh audit telah memaksa PTJ melaksanakan perolehan ad hoc (serta-merta), sekali gus meningkatkan risiko tadbir urus.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan dalam laporan berkenaan menjelaskan bahawa kelewatan berpunca daripada faktor luar kawalan, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun audit menegaskan langkah seperti pengeluaran notis denda sepatutnya dilaksanakan ketika kontrak masih berkuat kuasa bagi melindungi kepentingan kerajaan.

Justeru, LKAN mencadangkan supaya kontrak diwujudkan dalam tempoh sewajarnya dan sebarang perolehan ketika ketiadaan kontrak tidak dilaksanakan secara pecah kecil pada peringkat PTJ, sebaliknya dikemukakan kepada Kementerian Kewangan melalui pegawai pengawal untuk kelulusan khas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN