PETALING JAYA: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf tidak dapat menahan sebak setiap kali menyebut nama anak sulungnya yang ditemukan meninggal pada malam 6 Disember, dua tahun lalu.
Emosi itu terluah sewaktu pemeriksaan utama oleh peguam belanya, Haresh Mahadevan ketika memberikan keterangan bela diri secara bersumpah dari kadang saksi.
“Saya ada dua anak lelaki, anak pertama Zayn Rayyan (sebak) yang lahir pada 22 Februari 2017 dan anak kedua saya ialah Zahin Mateen yang lahir 27 Februari 2019,” katanya yang juga saksi pertama pihak pembelaan.
Ismanira juga menangis semasa menceritakan detik cemas kehilangan anak autismenya pada tengah hari 5 Disember, dua tahun lalu.
“Semasa naik ke rumah dan separuh tangga saya sedar bunyi tapak kasut (Zayn Rayyan) tiada. Saya kemudian naik ke rumah kerana syak Zayn sudah naik kerana dia tahu rumah dia, namun bila saya saya sampai Zayn memang tiada,” kata wanita itu.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan itu membela diri manakala bapanya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan terhadap Ismanira namun gagal membuktikan pendakwaan terhadap Zaim Ikhwan.
Dalam pada itu, Ismanira kemudian membuka pintu untuk meletakkan barang sebelum membiarkan semua pintu itu dibuka dengan harapan apabila anaknya itu balik boleh terus masuk ke rumah.
“Saya ada panggil nama ‘Zayn’, ‘abang dekat mana’ tapi tiada jawapan,” katanya.
Katanya, dia sentiasa mengawasi anaknya itu melalui bunyi tapak kaki dan Zayn Rayyan akan berjalan di sekitarnya termasuk sambil memegang baju.
“Dia akan stres sebab dia tidak suka dikongkong dan saya faham dia sudah besar. Tidak suka dipegang tetapi dia memang akan jalan di sekitar saya dan dalam pengawasan saya,” katanya.
Ismanira turut menafikan kenyataan saksi pendakwaan keempat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, yang mengatakan dia gagal memberi sebarang reaksi sepanjang pertanyaan dikemukakan terhadapnya.
“Saya tidak faham apa yang disampaikan. Saya (sejak) daripada anak saya hilang, saya dah alami satu perkara yang perit dan gelap.
“Saya dah menangis seharian, takkan saya nak menangis setiap masa? Tidak semestinya saya tidak menangis, saya tidak sedih.
“Fikiran saya hanya pada Zayn. ‘Dekat mana dia, selamat ke tidak, dah malam ni’ dengan cuaca hujan pada waktu itu,” tambahnya.
Semasa Ismanira memberi keterangan bela diri, Zaim Ikhwan tidak berada di mahkamah dia salah seorang daripada lima saksi pembelaan.
Sebelum ini, Zaim Ikhwan dan Ismanira kedua-duanya berusia 30 tahun yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.
Pertuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali.–UTUSAN










