SEREMBAN: Khidmat Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba Seremban 2 digunakan selepas dipercayai terdapat bahan kimia yang tumpah di longkang di sebuah kilang plastik di Taman D’Latania Senawang, dekat sini tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.55 tengah hari dan tiba di lokasi tersebut lima minit kemudian.
“Kami dimaklumkan dalam laporan awal yang didapati, ada bahan kimia tumpah di dalam longkang. Kami mendapati bau yang kurang menyenangkan dan sedang menunggu pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk maklumat lanjut.
“Kami dimaklumkan daripada aduan bau berkenaan telah menyebabkan kesukaran bernafas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mohamad memaklumkan, sehingga kini, tiada mangsa dilaporkan terjejas.
“Kami juga sedang mengenal pasti punca bahan kimia ini datang dari mana dan sama ada berbahaya atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











