Polis buka siasatan tatatertib anggota didakwa tahan, peras ugut wanita Taiwan - Utusan Malaysia

Polis buka siasatan tatatertib anggota didakwa tahan, peras ugut wanita Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan tatatertib terhadap anggotanya yang didakwa menahan dan memeras ugut wanita warga Taiwan ketika melalui sekatan jalan raya di kawasan SS2, di sini, 7 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya juga sudah menahan lima anggota yang disyaki terlibat dalam kejadian terbabit namun permohonan reman terhadap mereka ditolak oleh mahkamah.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika anggota terbabit melakukan penugasan ‘snap check’ di kawasan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kertas siasatan kes ini dibuka mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan tatatertib juga dibuka sebagai siasatan selari.

“Setakat ini, kita masih dalam proses berhubung dengan mangsa kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua anggota terbabit sudah dikeluarkan daripada tugas sedia ada ke tugas yang lain sehingga siasatan selesai dijalankan.

Sebelum ini media melaporkan, polis menjalankan siasatan susulan dakwaan seorang wanita warga Taiwan ditahan dan diperas ugut oleh anggota polis ketika melalui sekatan jalan raya di kawasan SS2, di sini.

Shahrulnizam dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas kenyataan tular dimuat naik di akaun Facebook milik mangsa pada 1.41 pagi tadi.

Menurutnya, polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya memandang serius dakwaan itu dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota yang mencemarkan nama baik pasukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini