Bercerai bukan lesen membuka aib

Bercerai bukan lesen membuka aib

AHMAD ATTAILAH MOHD. SHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERANCAKAN era digital hari ini, ramai dalam kalangan masyarakat, tanpa sedar menjadikan media sosial sebagai tempat melampiaskan amarah, meluah kecewa dan membuka aib bekas pasangan.

Walhal dalam ajaran Islam, perbuatan tersebut tergolong dalam dosa besar yang perlu dijauhi.

Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Imam Tua Masjid Hassanain, Mukim Kuala Semerak, Imam Ahmad Attaillah Mohd. Shai berkata, perceraian meski pun dibenarkan dalam Islam, namun bukanlah tiket untuk mengaibkan antara satu sama lain selepas berpisah.

“Perlu difahami, walaupun perceraian sah secara syarie, ia tidak membatalkan tanggungjawab menjaga maruah dan kehormatan bekas pasangan.

“Menyebarkan cerita dalam kelambu, membongkar kelemahan peribadi atau menghina bekas suami atau isteri adalah perbuatan yang dilarang keras dalam Islam,” katanya.

Ahmad Attaillah berkata, tindakan sedemikian akan mengundang pelbagai keburukan, bukan sahaja kepada bekas pasangan, tetapi juga kepada anak-anak, ahli keluarga, serta merosakkan hubungan sosial secara umum.

“Media sosial bukan mahkamah. Kita bimbang terhadap trend segelintir individu, termasuk golongan popular dan pempengaruh yang menjadikan media sosial sebagai medan ‘pengadilan’ dan tempat meraih simpati. Apa lagi dijadikan content untuk tatapan umum,” katanya.

Tegasnya, media sosial bukan tempat menuntut bela atau menjatuhkan maruah orang dan platform ini bukan gelanggang untuk membuka aib.

 

IMAM AHMAD ATTAILAH MOHD. SHAI
Usia : 32
Asal: Kampung Dalam Rhu, Pasir Puteh, Kelantan
Pendidikan:
Maahad Tahfiz Pulau Condong, Machang, Kelantan
Diploma Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM – Tahfuzul Quran dan dakwah)
Takaqi al-Quran dengan beberapa guru di Mesir .
Tugas hakiki: Imam Tua Masjid al-Hassanain, Kuala Semerak, Kelantan.

“Bahkan, apabila kita gagal menjaga lisan dan jari, kita membuka ruang dosa serta menutup pintu keberkatan dalam hidup,” jelasnya.
Beliau memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan tutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini, katanya, seharusnya menjadi benteng kepada umat Islam agar berfikir panjang sebelum menekan butang ‘kirim’ atau ‘kongsi’.

“Ingatlah, suatu ketika dahulu, dia adalah pasangan hidup kita. Aib yang kita dedahkan hari ini mungkin akan menjadi bala yang memalukan kita di akhirat kelak,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Attaillah menasihatkan agar sebarang tuntutan nafkah, hak penjagaan anak atau soal harta dibawa ke saluran yang sah seperti mahkamah syariah, kaunselor berdaftar atau peguam bertauliah.

“Bersikap profesional dan beradab dalam menyelesaikan konflik. Jangan heret masyarakat untuk menjadi hakim di media sosial atas kesilapan dan kegagalan kita mengurus emosi,” ujarnya.

Beliau juga berpesan kepada pengamal media agar tidak menjadikan isu rumah tangga sebagai bahan sensasi yang memanaskan sentimen awam.

“Jangan menangguk di air keruh hanya kerana mahu menaikkan ‘rating’ atau ‘klik’.

“Wartawan dan pencipta kandungan juga punya tanggungjawab agama dan moral untuk menyampaikan kebenaran secara adil dan berhemah.

“Umat Islam perlu kembali dan berpaksi kepada asas akhlak Islam – menjaga lisan, mengawal amarah, menutup aib sesama insan – dan berpegang kepada prinsip taqwa dalam menghadapi ujian hidup,” katanya.
Ahmad Attaillah berkata, perceraian bukan penghujung hidup, dan bukan alasan untuk menjerumuskan diri dalam dosa.

“Jadilah orang yang memuliakan walaupun telah dilukai. Di situlah nilai sebenar seorang Muslim,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×