Lampu Air Pancut Trevi ditutup sejam sebagai seruan gencatan senjata di Gaza - Utusan Malaysia

Lampu Air Pancut Trevi ditutup sejam sebagai seruan gencatan senjata di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Pihak berkuasa bandar raya Rom memadamkan lampu di Air Pancut Trevi yang terkenal selama satu jam pada malam Jumaat sebagai simbol seruan kepada gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

Tindakan itu susulan resolusi dewan bandar bertajuk “Rome Will Not Stay Silent” yang diluluskan bulan lalu, lapor agensi berita Anadolu Ajansi (AA).

Sebagai sebahagian daripada mesej solidariti, ungkapan “Hentikan perang di Gaza” turut dipancarkan di dinding hadapan Palazzo Poli, bangunan bersejarah yang terletak di belakang air pancut ikonik itu.

Sementara itu, sekumpulan penunjuk perasaan pro-Palestin berhimpun di lokasi tersebut sambil mengibarkan bendera Palestin dan mengangkat sepanduk yang menyatakan: “Apa yang berlaku di Gaza bukan perang, ia adalah genosid.”

Beberapa peserta demonstrasi juga melaungkan slogan yang mengecam tindakan Israel, dengan sebahagian membandingkannya dengan kekejaman Nazi terhadap Yahudi semasa Perang Dunia Kedua.

Mereka turut mengkritik Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) kerana didakwa bersekongkol melalui sikap membisu mereka terhadap konflik yang sedang berlaku.

Antara slogan yang dilaungkan termasuk “Bebaskan Palestin,” “Hentikan genosid,” dan “Dari sungai ke laut, Palestin akan merdeka.” Demonstrasi itu turut menarik perhatian pelancong, dengan beberapa daripada mereka menyatakan sokongan terhadap tuntutan kumpulan pro-Palestin tersebut.

Tindakan simbolik ini mencerminkan sokongan moral dan gesaan awam terhadap penyelesaian aman dan segera terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×