Kanak-kanak lemas akibat mandi di takungan tebatan banjir

Kanak-kanak lemas akibat mandi di kawasan takungan tebatan banjir

Kanak-kanak lemas
DUA kanak-kanak yang ditemukan lemas akibat terjatuh ke dalam parit dekat Jalan Cili Merah, Seksyen 24, di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua kanak-kanak lelaki lemas selepas mandi dekat kawasan takungan air di tapak projek tebatan banjir Sungai Klang berhampiran Jalan Cili Merah, Seksyen 4, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, sebelum kejadian, kedua-dua kanak-kanak terbabit dikatakan pergi ke kawasan berkenaan untuk mandi.

Menurutnya, polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 8.50 malam tadi daripada orang awam yang memaklumkan terdapat kanak-kanak jatuh dalam parit.

“Hasil siasatan awal mendapati tempat kejadian merupakan kawasan air bertakung di tapak projek Mitigasi Banjir Selangor Sungai Klang. Simati merupakan dua kanak-kanak lelaki berumur sembilan dan 12 tahun.

“Saksi di tempat kejadian menyatakan kedua-kedua simati telah pergi ke kawasan takungan air tersebut untuk mandi dan lemas di dalam takungan air tersebut,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, dua kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam parit.

Identiti mangsa dikenal pasti sebagai Che Syazwan Irwan Shah, 12, dan Arshidayan Arijanto berusia sembilan tahun.

Mohd. Iqbal berkata, bagaimana pun tiada tanda-tanda berlaku pergelutan selepas tiada kesan tindakan dan lain-lain kecederaan dikesan ketika pemeriksaan terhadap tubuh kanak-kanak berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas badan simati mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh simati yang boleh menyebabkan kematian simati. Mayat dihantar ke Hospital Shah Alam bagi tujuan bedah yang dijalankan pada pukul 11 pagi tadi.

“Siasatan dijalankan di bawah laporan kematian mengejut (SDR). Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd. Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×