PETALING JAYA: Orang awam bertindak menyelamatkan dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia tiga dan enam tahun selepas dipercayai keluar dari rumah pengasuh mereka tanpa disedari.
Mereka ditemukan pada pukul 11.57 pagi semalam sebelum orang awam menyerahkan mereka ke Balai Polis Bangi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu ditemukan dalam keadaan baik di tepi jalan berhampiran Bandar Bukit Mahkota, Bangi tanpa pengawasan orang dewasa.
“Ibu bapa kepada dua beradik itu berjaya dihubungi dan hadir ke balai sebelum mereka diserahkan semula dengan selamat kira-kira pukul 2 petang,” katanya dalam kenyataan.
Naazron berkata, insiden itu berlaku ketika pengasuh sedang tidur dan mereka keluar dari rumah berkenaan tanpa pengetahuan penjaga tersebut.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001, yang mana jika disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
“Setakat ini, lima keterangan telah dirakam dan siasatan masih diteruskan,” katanya. – UTUSAN










