CAMERON HIGHLANDS: Penduduk Kampung Melayu Desa Kayangan dekat Brinchang di sini, gempar dengan penemuan mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan yang ditanam berhampiran sebuah tangki air, semalam.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, mayat bayi itu ditemukan dalam keadaan dibungkus kain putih di dalam lubang cetek yang digali berhampiran kawasan berkenaan.
“Kejadian terbongkar selepas penduduk menemukan kesan tanah yang mencurigakan seperti baru dikorek berhampiran tangki air berkenaan. Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan satu bungkusan kain putih yang mengandungi mayat seorang bayi lelaki,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun kira-kira pukul 5.30 petang pada hari sama.
Katanya, turut dirampas beberapa peralatan seperti cangkul dan penyodok yang dipercayai digunakan suspek untuk menggali tanah bagi tujuan menanam bayi tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati remaja terbabit mengaku melakukan hubungan seks terlarang bersama kakak tirinya hingga menyebabkan kehamilan. Suspek juga mengaku membawa bayi yang dilahirkan oleh kakak tirinya ke atas bukit lalu menanamnya bersama uri,” katanya.
Azri berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan kematian bayi. – UTUSAN










