Sukar buat belacan, stok geragau terhad

Sukar buat belacan, stok geragau terhad

MOHD. Aimi Shahril Mat Ali menjemur belacan di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Walaupun permintaan terhadap belacan tradisional tinggi, pengusahanya berdepan kesukaran mendapatkan bahan mentah utama iaitu udang geragau, terutama ketika musim tengkujuh.

Mohd. Aimi Shahril Mat Ali, 24, yang mengusahakan perniagaan belacan warisan keluarga di Kampung Seberang Takir di sini berkata, kekurangan bekalan udang geragau menyebabkan pengeluaran produk terjejas, sekali gus menyukarkannya memenuhi tempahan pelanggan.

“Ketika ini saya hanya mampu menghasilkan kira-kira 400 keping belacan sehari, berbanding 700 keping sebelum ini. Itu belum masuk musim tengkujuh, stok udang geragau memang susah dapat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Permintaan memang tinggi, terutama musim cuti sekolah. Tetapi apabila bekalan tidak menentu, ia jejaskan operasi dan pendapatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Aimi Shahril berkata, belacan yang dihasilkan menggunakan 100 peratus udang geragau itu menerima sambutan menggalakkan bukan sahaja di Terengganu, malah oleh pemborong luar seperti Kuala Lumpur dan Johor.

“Untuk memastikan pengeluaran tidak terhenti, saya men­dapatkan bekalan udang geragau dari Perak dengan kos mencecah RM21,000 bagi tiga tan metrik, yang hanya mampu bertahan sekitar dua hingga tiga minggu.

“Selain udang geragau, bekalan ikan bilis turut berdepan isu sama. Selepas Hari Raya Aidiladha lalu, stok ikan bilis memang tiada,” katanya.

Walaupun berdepan pelbagai kekangan, Mohd Aimi yang dibantu isterinya, Nur Shafiha Nor Shukri, 24, tetap komited meneruskan perniagaan itu dengan harapan dapat membantu ekonomi keluarga dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk.

“Kita tetap buat belacan de­ngan stok bahan mentah yang terhad kerana permintaan sentiasa ada. Saya bersyukur kerana masih dapat membuat belacan setiap hari berbanding pengusaha belacan kecil-kecilan yang tidak mampu mendapatkan bahan mentah disebabkan kos yang tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini