DALAM era globalisasi dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kemahiran akademik sahaja tidak lagi mencukupi untuk melahirkan graduan yang kompetitif. Dunia hari ini menyaksikan perubahan pesat dalam teknologi, ekonomi serta sosial yang membawa keperluan mendesak untuk graduan memiliki kemahiran lebih holistik dan relevan dengan keperluan semasa.
Institusi pendidikan tinggi (IPT) kini berdepan cabaran untuk memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan tetapi juga mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pekerjaan yang semakin kompleks dan tidak menentu.
Pembangunan kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi berkesan, pemikiran kritikal, kreativiti dan kecerdasan emosi menjadi kunci utama yang harus diberi penekanan. Kemahiran-kemahiran ini termasuk keupayaan untuk menyelesaikan masalah, bekerjasama dalam pasukan yang pelbagai, berinovasi serta menyesuaikan diri dengan teknologi dan maklumat baharu yang sentiasa berubah.
Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan kajian Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menegaskan kreativiti dan pemikiran kritikal kini berada dalam senarai teratas kemahiran yang dicari majikan di seluruh dunia.
Malah, dalam dunia yang semakin digital, kemahiran insaniah yang tidak dapat digantikan automasi dan kecerdasan buatan (AI) menjadi semakin penting untuk memastikan graduan tidak ketinggalan dan mampu bersaing di peringkat global.
Medium paling berkesan untuk mencapai matlamat ini adalah melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum. Statistik Kementerian Pendidikan menunjukkan 78 peratus majikan di Malaysia lebih mengutamakan graduan yang mempunyai kemahiran insaniah selain pencapaian akademik. Kajian Economist Impact (2023) turut mengesahkan 54 peratus pekerja Malaysia menganggap kemahiran insaniah sangat penting, dengan komunikasi interpersonal dan antara budaya menjadi antara keutamaan utama dalam dunia pekerjaan yang semakin berbilang bangsa dan budaya.
Aktiviti kokurikulum dirangka bagi menyediakan platform praktikal untuk pelajar mengasah kemahiran ini secara langsung. Pelajar dapat mempraktikkan komunikasi berkesan, menyelesaikan masalah secara kreatif dan membina jaringan sosial yang luas melalui penyertaan dalam kelab, persatuan, sukan dan aktiviti kesukarelawanan.
Penglibatan dalam pelbagai aktiviti ini membolehkan pelajar berinteraksi dengan rakan sebaya daripada latar belakang berbeza, sekali gus memperluas perspektif dan meningkatkan keupayaan mereka untuk bekerjasama dalam pasukan yang pelbagai.
Selain itu, aktiviti-aktiviti ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk memimpin, berkolaborasi dan mengurus konflik dalam suasana sebenar, yang tidak dapat diperoleh di dalam bilik kuliah. Misalnya, pelajar yang memegang jawatan dalam kelab atau persatuan akan berhadapan dengan cabaran membuat keputusan, mengatur program, serta menyelesaikan pertikaian secara diplomasi.
Pengalaman ini secara tidak langsung memperkukuh jati diri dan membina keyakinan diri yang tinggi kerana mereka belajar untuk bertanggungjawab, berdikari dan berani menyuarakan pendapat. Ternyata, kokurikulum bukan sahaja melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknikal, malah membentuk mereka menjadi insan yang seimbang, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Aktiviti kokurikulum seperti debat, simulasi mesyuarat dan projek komuniti juga memberi peluang kepada pelajar untuk berkomunikasi secara proaktif, mengemukakan hujah dan mempertahankan pendapat secara rasional.
Kokurikulum juga merupakan ruang terbaik untuk membina nilai integriti dan jati diri dalam kalangan pelajar. Pelajar didedahkan kepada pelbagai situasi yang menuntut kejujuran, tanggungjawab dan etika dalam setiap tindakan melalui pengalaman memimpin organisasi pelajar, menguruskan projek serta membuat keputusan secara kolektif.
Pelajar hari ini adalah pemimpin masa hadapan. Mereka perlu diberikan ruang, peluang dan kepercayaan untuk mengaplikasi ilmu serta menonjolkan potensi kepimpinan melalui kokurikulum.
Pengalaman ini akan membentuk karakter, kepercayaan diri dan kemahiran kepimpinan yang kukuh, yang pastinya merupakan aset penting dalam dunia kerjaya dan masyarakat.
Sudah tiba masanya masyarakat dan institusi pendidikan mengiktiraf peranan kokurikulum sebagai elemen penting dalam pembangunan pelajar holistik.
Kokurikulum bukan sekadar aktiviti sampingan tetapi medan latihan sebenar untuk melahirkan graduan yang berdaya saing, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran abad ke-21. Marilah kita bersama-sama memperkasakan kokurikulum demi masa hadapan negara yang gemilang.-UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH & MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
& Sixtysix Action Academy











