WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, 79, disahkan menghidap masalah salur darah vena kronik atau chronic venous insufficiency (CVI), selepas mengadu mengalami bengkak ringan pada bahagian kaki sejak beberapa minggu lalu.
Perkara itu disahkan oleh White House dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Setiausaha Akhbar, Karoline Leavitt, pemeriksaan perubatan menyeluruh termasuk ujian vaskular diagnostik telah dijalankan oleh Unit Perubatan White House.
Menerusi nota perubatan yang dibacakan Leavitt, doktor Presiden, Kapten Sean Barbabella menjelaskan ujian ultrasound doppler ke atas kedua-dua kaki Trump menunjukkan tanda-tanda CVI, satu keadaan biasa yang sering dialami individu berusia lebih 70 tahun.
“Ujian dijalankan susulan aduan Trump mengenai bengkak ringan pada kaki sejak beberapa minggu kebelakangan ini,” jelas Leavitt.
Bagaimanapun, tiada tanda-tanda wujudnya darah beku (deep vein thrombosis) atau penyakit arteri. Hasil ujian makmal juga menunjukkan keputusan yang sepenuhnya normal.
Trump turut menjalani ujian echocardiogram yang mengesahkan beliau tidak mengalami sebarang kegagalan jantung, masalah buah pinggang atau penyakit sistemik lain.
CVI berlaku apabila injap dalam salur darah vena gagal berfungsi dengan baik, menyebabkan darah terkumpul dan tidak mengalir secara lancar. Keadaan ini boleh menyebabkan bengkak, kejang, kesakitan, urat timbul (varicose veins) serta perubahan pada kulit.
Dianggarkan lebih 150,000 kes CVI dicatatkan setiap tahun, dengan risiko meningkat mengikut usia.
Rawatan bergantung kepada tahap penyakit dan boleh melibatkan penggunaan ubat-ubatan atau prosedur perubatan khusus.
Dalam perkembangan berkaitan, Leavitt turut menjelaskan mengenai kesan lebam yang kelihatan pada bahagian belakang tangan Trump.
Katanya, lebam tersebut berpunca daripada kebiasaan Trump berjabat tangan secara kerap serta pengambilan ubat aspirin.










