Rundingan tarif AS: Kedaulatan negara diutamakan

Rundingan tarif AS: Kedaulatan negara diutamakan

MOHAMAD Hasan menyampaikan bantuan kepada penerima di Dewan Komuniti Rantau, Seremban semalam-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kedaulatan negara akan diutamakan dalam run­dingan dagangan dengan Amerika Syarikat (AS) susulan tarif balas baharu oleh negara itu ke atas semua produk eksport Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, run­dingan masih berlangsung dan kerajaan sedaya upaya menge­tengahkan kepentingan hubu­ngan dua hala dengan berhati-hati dan rasional.

Katanya, ia tidak hanya tertumpu kepada soal perdaga­ngan,­ sebaliknya melibatkan per­­ka­ra seperti kedudukan Ma­lay­­sia sebagai negara berkecuali dan sebahagian daripada ASEAN­ yang mengamalkan da­sar kete­rangkuman serantau.

“Kita mahu supaya kepen­tingan bersama ini dapat dipelihara sebaik mungkin. Jangan sampai rundingan tarif ini me­rosakkan hubungan dua hala. Malaysia merupakan rakan stra­tegik kepada AS dan juga kepada negara lain di seluruh dunia. Sebarang usaha meme­cahbelahkan kami tidak sihat,” katanya selepas Majlis Pe­nyam­paian

Sumbangan Kepada Penerima Sumbangan Bantuan Am, Pelajaran, Masjid, Surau dan NGO dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di sini, semalam.

Baru-baru ini AS mengumumkan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua produk Malaysia, meningkat satu peratus berbanding pengumuman sebelum ini. Langkah ini dilihat menekan ekonomi eksport Malaysia dan menimbulkan kebimbangan terhadap potensi jangka panjang hubungan dagang kedua-dua negara.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Menteri Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi jaminan akan mempertahankan kepentingan dalam sektor tertentu semasa rundingan semula tarif sebanyak 25 peratus daripada 24 peratus itu.

Berdasarkan rekod sebelum ini USTR Pejabat Wakil Per­dagangan AS (USTR) telah menyifatkan syarat import halal Malaysia sebagai halangan teknikal kepada perdagangan.

Mengulas perbandingan de­ngan Indonesia yang dikenakan tarif 19 peratus, Mohamad berkata, sebarang rundi­ngan tidak wajar membawa ke­pada layanan berbeza antara negara yang boleh menjejaskan semangat kerjasama serantau.

“Kita tidak mahu melihat­nya sebagai suatu masalah kepada hubungan dua hala. Itu sebab saya kata tadi rundingan tadi melihat skop lebih meluas, bukan sahaja perdagangan tetapi kedaulatan ne­gara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd. Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Malaysia tidak boleh berkompromi terutama dalam soal melibatkan kepentingan negara kerana ‘kehilangan’ aspek tersebut boleh menyebabkan dasar fiskal dan ekonomi utama negara bukan lagi dalam kawalan kerajaan.

Katanya negara perlu meletakkan kedaulatan negara sebagai asas utama dalam run­dingan tarif dengan AS dan bukannya mengikut perminta­an pelabur untuk menguasai sektor strategik terutama sektor perbankan serta utiliti.

“Apa yang dibimbangi ialah jika kita terlalu mengikut telunjuk luar, maka kerajaan akan kehilangan kawalan terhadap keputusan dasar sendiri. Oleh itu, kedaulatan negara mesti menjadi asas utama dalam rundingan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, pakar eko­nomi, Prof. Emeritus Dr. Barjo­yai Bardai berkata, Malaysia berisiko kehilangan nilai eksport sebanyak RM30 bilion sekiranya tarif kekal pada kadar tinggi.

Bagaimanapun, kesan itu diyakini bersifat jangka pendek sekiranya Malaysia agresif meneroka pasaran baharu dan memperkukuh hubungan dagangan dengan negara-negara lain termasuk China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×