PETALING JAYA: Ramai anak muda tidak berminat berkhidmat sebagai jururawat kerana ia tidak memberi pulangan yang lumayan selain tidak menjanjikan masa depan yang stabil.
Presiden Persatuan Jururawat Malaysia (MNU), Saaidah Athman berkata, jururawat bukan sahaja bekerja dalam tekanan, malah terpaksa berdepan risiko kesihatan dan emosi tanpa pampasan atau pengiktirafan setimpal daripada pihak kerajaan.
“Ramai lepasan sekolah tidak mahu pilih jururawat sebagai kerjaya. Mereka anggap kerja ini susah, kotor dan tidak dihargai. Tiada pencen, kerja syif, elaun kritikal pun sudah lama dihentikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Petunjuk Kesihatan 2024, Malaysia mempunyai 118,309 jururawat berdaftar, dengan 66 peratus bertugas di sektor awam manakala selebihnya di sektor swasta.
Bagaimanapun, nisbah jururawat kepada penduduk terus merosot daripada 1:279 pada tahun 2022 kepada 1:282 pada 2024. Negeri seperti Sabah mencatatkan nisbah lebih tinggi iaitu 1:417, berbanding 1:368 pada tahun sebelumnya.
Dalam tempoh empat tahun lalu, kekosongan jawatan jururawat di fasiliti kesihatan awam juga meningkat mendadak, daripada 2,106 kekosongan pada 2020 kepada 6,787 setakat Mac 2024.
Ekoran itu, Saaidah berkata, kerajaan perlu bertindak segera dengan membuka lebih banyak kolej kejururawatan serta menambah tempat latihan di universiti awam dan swasta.
Katanya, trend ini membuktikan profesion kejururawatan sedang berdepan krisis ketara yang perlu ditangani secara menyeluruh, bukan bergantung kepada pengambilan baharu semata-mata namun beliau tidak bersetuju jika syarat kelayakan pelajar dilonggarkan.
“Tiga tahun belajar jururawat bukan mudah. Ramai yang gagal dan ditamatkan pengajian. Kalau longgarkan syarat, bukan saja kualiti terjejas, tetapi lebih ramai pelajar akan tercicir.
“Elaun syif, elaun kritikal dan pelbagai insentif lain mesti dikaji semula. Jururawat hari ini bekerja dalam situasi yang sangat mencabar. Kalau kerajaan serius mahu jaga kesihatan rakyat, jururawat perlu dijaga dulu,” katanya.
Menurutnya lagi, unjuran Kementerian Kesihatan menunjukkan negara berisiko mengalami kekurangan hampir 60 peratus jururawat menjelang tahun 2030 jika tiada langkah segera diambil.
“Jururawat ialah nadi kepada sistem kesihatan. Tanpa cukup tenaga di barisan hadapan, semua perancangan kerajaan dalam sektor kesihatan akan gagal,” katanya.
Antara destinasi pilihan paling popular jururawat ialah Singapura, yang menawarkan gaji permulaan sekitar RM6,000 hingga RM8,000 sebulan kepada jururawat asing, termasuk dari Malaysia.
Jumlah itu hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding gaji asas jururawat baharu dalam sektor awam Malaysia yang hanya bermula sekitar RM2,000 hingga RM2,300 sebulan.
Selain Singapura, negara-negara di rantau Timur Tengah seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar juga menjadi tumpuan utama jururawat Malaysia.
Secara purata, jururawat yang bekerja di hospital-hospital di Riyadh, Jeddah, Abu Dhabi atau Doha boleh memperoleh pendapatan bersih antara RM7,000 hingga RM14,000.
Bagi jururawat yang berpengalaman dan memiliki kelulusan tambahan seperti Sistem Ujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS) atau lesen antarabangsa, negara-negara seperti Australia dan United Kingdom pula menawarkan laluan kerjaya yang lebih luas. – UTUSAN











