Syria jadi ‘lubuk kuasa baharu’ Israel

Syria jadi ‘lubuk kuasa baharu’ Israel

KOMUNITI Druze Syria berjalan merentasi asap gas pemedih mata yang dilepaskan tentera Israel ketika cuba menyeberangi pagar dawai berduri ke Bukit Golan berhampiran Majdal Shams. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Seakan ‘ketagih’ untuk berperang, Israel kini menjadikan Syria sebagai mangsa baharu pasukan ketenteraannya, menggunakan alasan melindungi komuniti Druze untuk meneruskan kekacauan di rantau Asia Barat.

Tidak puas mencetus kemusnahan di Iran baru-baru ini, rejim Zionis kini menggunakan perpecahan kaum di bandar Sweida di selatan Syria demi meluaskan pengaruh mereka.

Konflik tempatan antara komuniti Druze dan Badwi di selatan Syria yang bermula hujung minggu lalu memuncak pada Rabu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas ibu pejabat Kementerian Pertahanan Syria serta beberapa sasaran lain di ibu kota Damsyik.

Menurut Kementerian Kesihatan Syria, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam serangan tersebut yang turut menyasarkan wilayah Deraa di barat daya Syria.

Laporan berita turut menunjukkan bangunan Kementerian Pertahanan dilihat terkena serangan secara langsung, memaksa penyampai berita berlindung ketika bersiaran.

Semalam, kerajaan Syria dilaporkan sudah menarik balik tenteranya dari bandar selatan Sweida dan mencapai satu perjanjian gencatan senjata baharu dengan pemberontak Druze di kawasan berkenaan.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen pada awal pagi semalam, Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa menuduh Israel cuba memecahbelahkan rakyat Syria dan memberi jaminan hak-hak masyarakat Druze akan dilindungi oleh kerajaan.

“Entiti Israel, yang terkenal dengan usaha berulang kali untuk menggugat kestabilan kita dan menabur perpecahan, sekali lagi cuba menjadikan tanah air kita medan kekacauan dan meruntuhkan perpaduan rakyat.

“Kita tidak gentar dengan perang. Sejarah kita sarat dengan perjuangan mempertahankan rakyat kita. Namun, kita memilih jalan yang meletakkan kesejahteraan rakyat Syria di atas kepentingan kekacauan dan kemusnahan,” tegas al-Sharaa.

Pihak berkuasa Israel mendakwa serangan mereka bertujuan melindungi komuniti Druze di Sweida, yang menyaksikan 302 kematian akibat pertempuran melibatkan kumpulan bersenjata tempatan dan juga pasukan kerajaan.

Namun, aktivis tempatan dan penganalisis menegaskan, tindakan Israel sebenarnya memburukkan lagi perpecahan dalaman di Sweida, terutamanya sejak kejatuhan bekas Presiden, Bashar al-Assad pada Disember lalu.

Serangan berterusan Israel ke atas pasukan kerajaan Syria juga berlaku walaupun beberapa perjanjian gencatan senjata sudah dimeterai sebelum itu antara pemimpin Druze dan pihak kerajaan.

Keganasan meletus semula

Menurut Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), keganasan terkini bermula apabila kumpulan bersenjata Badwi menculik seorang peniaga Druze di jalan ke Damsyik pada 11 Julai lalu.

Insiden itu mencetuskan pertempuran lebih meluas antara dua komuniti yang lama bersaing akibat pertikaian tanah dan melibatkan pasukan kerajaan Syria.

Kerajaan baharu Syria yang ditubuhkan selepas perang saudara selama 14 tahun dan tamatnya pemerintahan keluarga al-Assad selama setengah abad, kini cuba mengukuhkan kuasa.

Namun, mereka menghadapi kesukaran di Sweida, sebahagiannya kerana ancaman berterusan Israel terhadap kehadiran tentera Syria di wilayah itu yang bersempadan dengan Bukit Golan yang diduduki.

Walaupun penduduk Sweida pada awalnya menyambut baik kehadiran tentera kerajaan untuk mengembalikan ketenteraman, pertelingkahan kemudian meletus antara pejuang Druze dan pasukan keselamatan, dengan laporan menyatakan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia oleh pihak kerajaan.

Beberapa tindakan pasukan keselamatan kerajaan yang diakui sebagai jenayah oleh pejabat Presiden Syria turut digunakan Israel sebagai alasan melemahkan negara itu melalui serangan ketenteraannya.

Jelas Pakar Politik Syria, Aymenn Jawad Al-Tamimi, Zionis cuba mengambil hati komuniti Druze di Israel yang berkhidmat dalam angkatan tentera negara itu.

Menurut pemimpin Druze, Youssef Jarbou, gencatan senjata terbaharu menyatakan Sweida akan diintegrasikan sepenuhnya ke dalam negara Syria tetapi Israel terus melancarkan serangan.

Ketika pertempuran berterusan, tokoh agama Druze, Hikmat al-Hijri menyeru masyarakat antarabangsa agar melindungi komuniti Druze Syria, satu langkah yang dikritik sebagai isyarat tersirat meminta campur tangan Israel, yang ditolak oleh ramai di Sweida.

Seorang aktivis tempatan dikenali sebagai Samya yang tinggal berdekatan kawasan konflik berkata, tindakan Israel menimbulkan rasa tidak selesa.

“Kami tidak tahu siapa yang mungkin datang ke rumah kami, bagaimana dia akan bertindak, dan apakah yang dia mahukan. Kami sangat takut,” katanya kepada Al Jazeera.

Al-Tamimi memberi amaran retorik Israel yang kononnya melindungi Druze hanya akan meningkatkan ketegangan sektarian dan membawa kepada hukuman kolektif.

“Tindakan Israel menyemarakkan perpecahan, kerana ia menguatkan dakwaan komuniti Druze berpakat dengan Israel untuk memecah belahkan negara,” katanya.

Kecaman antarabangsa

Negara-negara Asia Barat pada Rabu mengecam serangan udara Israel terhadap ibu pejabat tentera Syria dan kawasan istana Presiden di Damsyik sementara Liga Arab menyifatkannya sebagai pencerobohan terang-terangan ke atas kedaulatan Syria.

Mesir menegaskan tindakan itu sebagai punca ketegangan dan ketidakstabilan di Syria, Lubnan dan rantau lebih luas manakala Algeria menyatakan sokongan penuh terhadap hak Syria mempertahankan kedaulatannya menurut Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Kementerian Luar Iraq pula menolak keras tindakan yang membahayakan nyawa orang awam Syria dan menambah derita kemanusiaan malah, Presiden Lubnan, Joseph Aoun turut menyeru masyarakat antarabangsa mendesak Israel agar menghentikan pencerobohan.

“Malangnya, ini semua sudah dijangka. Ibu kota mana pula yang akan menjadi sasaran seterusnya?” kata Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi dalam ciapan di X.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×