Trump maklum ada 'berita baik' mengenai Gaza menjelang pertemuan dengan Qatar - Utusan Malaysia

Trump maklum ada ‘berita baik’ mengenai Gaza menjelang pertemuan dengan Qatar

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan terdapat ‘berita baik’ mengenai Gaza menjelang pertemuannya dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, di Rumah Putih.

“Kami ada beberapa berita baik mengenai Gaza dan beberapa perkara lain yang sedang kami usahakan pada peringkat tertinggi.

“Anda telah melakukan tugas yang sangat baik,” kata Trump kepada utusannya bagi Asia Barat, Steve Witkoff, semasa acara menandatangani rang undang-undang di Rumah Putih.

Bagaimanapun, Trump tidak memberikan butiran lanjut mengenai kenyataan itu.

Majlis makan malam itu diadakan ketika rundingan gencatan senjata antara Hamas dengan Israel masih berlangsung.

Media Israel melaporkan kelmarin terdapat “kemajuan dramatik” dalam tempoh 24 jam lalu dalam rundingan tidak langsung yang sedang berlangsung di Doha, Qatar, antara Israel dan Hamas.

Rundingan yang bermula 6 Julai itu bertujuan untuk mencapai perjanjian yang merangkumi gencatan senjata dan pertukaran tawanan antara kedua-dua pihak.

Sejak 7 Oktober 2023, Israel melancarkan kempen ketenteraan yang dahsyat di Gaza, mengorbankan hampir 58,500 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Lebih 10,000 orang masih hilang dan ratusan ribu telah kehilangan tempat tinggal dalam keadaan kebuluran yang meluas.

Israel menganggarkan kira-kira 50 tebusan masih ditahan di Gaza, dengan 20 daripadanya dipercayai masih hidup.

Sebaliknya, lebih 10,800 rakyat Palestin kini ditahan di penjara-penjara Israel dan ramai daripada mereka dilaporkan mengalami penyeksaan, kelaparan dan pengabaian rawatan, menurut organisasi hak asasi manusia dari kedua-dua pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×