SEREMBAN: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) didenda RM1,800 di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memijak seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun pada 15 Julai lalu.
Hakim Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu selepas orang kena saman (OKS), Norwinna Ahmad Norwi, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, OKS telah didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan memijak mangsa pada bahagian muka dan kaki.
Kesalahan itu dilakukan pukul lebih kurang 12.30 tengah hari di sebuah kedai runcit di Nilai pada 15 Julai lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memberitahu OKS tiada sumber pendapatan dan belum berkahwin selain merupakan seorang OKU yang mempunyai masalah mental.
Timbalan Pendakwa Raya, Fidha Misjedi memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap OKS dengan mahkamah mengambil kira umur mangsa yang berusia 11 tahun dan faktor kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi.
Jelasnya, pengakuan salah OKS tidak secara automatik memberikan hak kepadanya untuk mendapatkan hukuman rendah.
Sebelum ini media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mengalami bengkak pada bahagian hidung dan lebam pada beberapa bahagian kaki selepas dipercayai ditendang dan dipijak seorang wanita di sebuah kedai runcit di Nilai.
Suspek dikatakan bertindak demikian kerana dikatakan berada dalam keadaan halusinasi dengan mengesyaki mangsa mencuri barangnya di kedai runcit terbabit. – UTUSAN











