Penggali kubur tak mengaku amang seksual kanak-kanak lelaki - Utusan Malaysia

Penggali kubur tak mengaku amang seksual kanak-kanak lelaki

MUHAMMED Syahril Reza Omar dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seorang penggali kubur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, Jumaat lalu.

Tertuduh, Muhammed Syahril Reza Omar, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa dengan cara mencium muka dan leher di dalam tandas wanita di Masjid Jamek Taman Yayasan Kamunting pada pukul 12.30 tengah hari, 11 Julai 2025.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Shabani Bahari mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dikenakan terhadap tertuduh beserta syarat tambahan tidak dibenarkan menggangu mangsa dan melapor diri di balai polis terdekat pada setiap awal bulan.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Syed Saifullizan Syed Abd. Razak memohon jumlah jaminan minimum ekoran tertuduh yang merupakan penggali kubur perlu menanggung tiga anak masing-masing berusia 19, 14 dan lapan tahun.

“Tertuduh merupakan seorang duda dan dibayar elaun bulanan sebagai penggali kubur sebanyak RM400. Tertuduh memohon jaminan paling minimum dan berjanji untuk mengikut syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan,” katanya.

Hakim Nabisha kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan iaitu tidak mengganggu mangsa dan lapor diri di balai polis terdekat sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan untuk tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×