HEBRON: Pihak berkuasa Israel memindahkan sebahagian kuasa pentadbiran ke atas Masjid Ibrahimi di Hebron daripada Majlis Perbandaran Hebron yang dikendalikan oleh Palestin kepada majlis agama Yahudi dari penempatan haram Kiryat Arba, menurut laporan akhbar Israel Hayom pada Selasa.
Langkah ini disifatkan sebagai ‘tidak pernah berlaku sebelum ini’ dan dilihat sebagai perubahan besar terhadap status quo di tapak suci itu yang dikenali oleh umat Islam sebagai Masjid Ibrahimi dan oleh orang Yahudi sebagai Gua Patriark.
Menurut laporan tersebut, Pentadbiran Awam Israel menarik balik beberapa tanggungjawab pentadbiran yang sebelum ini dipegang oleh Majlis Perbandaran Hebron, dan menyerahkannya kepada majlis agama penempatan Kiryat Arba-Hebron, yang terletak bersebelahan bandar Hebron di wilayah Palestin yang diduduki.
Walaupun laporan itu tidak memperincikan jenis kuasa yang dipindahkan, ia menyatakan bahawa langkah tersebut bertujuan untuk memudahkan perubahan struktur di tapak berkenaan.
Ini merupakan perubahan paling ketara sejak pelaksanaan cadangan Jawatankuasa Shamgar pada tahun 1994, yang dicadangkan selepas insiden pembunuhan beramai-ramai oleh pendatang Yahudi, Baruch Goldstein, ketika umat Islam sedang menunaikan solat Subuh.
Insiden berdarah itu meragut nyawa 29 jemaah Palestin. Susulan kejadian tersebut, kawasan ibadah itu dibahagikan dengan 63 peratus diperuntukkan kepada Yahudi dan 37 peratuskepada umat Islam.
Israel Hayom turut melaporkan pihak berkuasa Israel sudah lama merancang untuk membuat perubahan besar di kawasan berkenaan.
Masjid Ibrahimi terletak di kawasan Bandar Lama Hebron, yang berada di bawah kawalan penuh tentera Israel.
Tapak suci itu sering menjadi titik ketegangan antara penduduk Palestin dan pendatang Yahudi di kawasan tersebut.











