eHati: Polis sahkan aktiviti bogel wujud

eHati: Polis sahkan aktiviti bogel wujud

PASANGAN suami isteri dan anak perempuan mereka serta tiga lagi individu dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam untuk proses tahanan reman bagi membantu siasatan penganjuran sebuah program motivasi. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis mengesahkan wujud aktiviti berbogel dalam acara dipanggil sebagai Queen’s Night menerusi program motivasi rumah tangga eHati di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada September tahun lalu.

Program dikatakan dianjur secara bermalam selama empat hari tiga malam itu turut melibatkan kira-kira 50 peserta termasuk bukan Islam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, aksi tersebut dilakukan oleh empat fasilitator yang kemudian turut diikuti beberapa peserta lain pada malam terakhir program berkenaan.

Menurutnya, penganjuran program itu dimasukkan dalam salah satu pakej yang dikenakan bayaran sebanyak RM9,000 sementara pakej lain pula RM6,000.

“Dalam program pakej B, ada satu tambahan (aktiviti) dipanggil sebagai Queen’s Night dan dalam itulah berlaku aktiviti disebutkan itu (berbogel) dan dianggap lucah yang melibatkan empat individu dalam aktiviti dipanggil sebagai rebirth untuk menaikkan motivasi mereka.

“Beberapa individu lain turut dikenal pasti yang mana pada malam itu kira-kira 50 orang hadir dan polis memperoleh se-narai yang hadir,” katanya.

Semua yang hadir diminta tampil ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk memberi keterangan sebelum polis membuat tindakan tangkapan.

Kelmarin media melaporkan Mahkamah Majistret Shah Alam mengeluarkan perintah reman tiga hari sehingga esok, enam individu terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita termasuk pasangan suami isteri dan anak perempuannya sebagai penganjur.

Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 294 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK) serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Kes disiasat di bawah Seksyen 294 KK kesalahan melakukan kelucahan dalam khalayak ramai, namun belum menerima sebarang rakaman video atau gambar menunjukkan adegan tersebut.

“Sehingga kini seramai 30 individu dirakam keterangan termasuk penganjur, fasilitator dan mereka yang hadir. Kita masih menyiasat sama ada peserta terdiri daripada selebriti atau orang kenamaan (VIP), namun antara mereka adalah dari pelbagai profesion termasuk penjawat awam,” katanya.

Turut dirampas beberapa jenis cecair dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk mengetahui kandungan sama ada terdapat dadah atau kandungan lain.

Polis juga menyiasat jika terdapat perancangan penganjur menganjurkan program motivasi sama pada masa akan datang, namun acara Queen’s Night adalah pertama kali. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×