ASEAN sebagai watak ketamadunan dunia multipolar

ASEAN sebagai watak ketamadunan dunia multipolar

ASEAN boleh menjadi suara alternatif dengan melihat agama dan hikmah silam sebagai sumber kekuatan, bukan halangan kepada kemajuan atau berdasarkan ekonomi kapitalis sekular. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA kini sedang menyaksikan peralihan besar dari era unipolar pasca Perang Dingin ke arah susunan dunia multipolar yang lebih rumit.

Tidak lagi dikuasai dua kuasa besar, dunia hari ini ditentukan blok-blok ketamadunan dan ruang budaya yang saling bersaing dari segi kepimpinan pemikiran dan gagasan baharu untuk masa hadapan dunia lebih cerah.

Di pertengahan realiti baharu ini, ASEAN berdepan pilihan penting: adakah ia sekadar menjadi blok pasif dalam permainan kuasa besar atau mampu tampil sebagai watak peradaban yang menawarkan kepimpinan pemikiran dan model kehidupan tersendiri?

Selama ini, kekuatan di medan antarabangsa dibataskan kepada kuasa ketenteraan dan ekonomi. Namun dalam dunia yang mula mengiktiraf kembali hakikat kepelbagaian ketamadunan, kekuatan kini dinilai melalui keupayaan untuk menawarkan wawasan kehidupan dan wawasan masa hadapan lebih cerah.

Kekuatan ASEAN terletak pada kepelbagaian warisan hikmahnya, daripada faham adab dan tadbir Islam, faham ketenteraman Buddhisme, faham keteraturan Konfusianisme hingga kebijaksanaan alam sekitar masyarakat pribumi. Semua ini bukan tinggalan sejarah tetapi panduan untuk ketahanan masa hadapan.

Dari sudut ini, wawasan geopolitik China yang meraikan kepelbagaian ketamadunan melalui Inisiatif Tamadun Global serta wawasan Nilai-Nilai Tradisional dianjurkan Rusia lebih akrab dengan cita-rasa dan semangat masyarakat ASEAN.

ASEAN harus memilih hala tuju Dunia Multipolar dalam pengertian pengiktirafan kepada kepelbagaian ketamadunan, pandangan hidup serta nilai dan bukan sekadar dalam pengertian peralihan kepada dunia dipengaruhi oleh blok-blok antarabangsa yang lebih banyak.

Pengertian dunia multipolar sebagai pengiktirafan kepada kepelbagaian ketamadunan dan pandangan hidup ini penting kerana masyarakat kita tidak sepatutnya tunduk kepada pandangan dan kuasa-kuasa Barat khususnya yang cenderung untuk mengimport pandangan serta nilai-nilai mereka terhadap seluruh dunia. Ini kerana mereka mengandaikan pandangan hidup dan nilai-nilai mereka adalah sejagat (universal) dan paling terkehadapan.

Juga, oleh kerana ASEAN masih didiami masyarakat Muslim yang kedua atau ketiga terbesar di dunia, masih boleh dianggap sebagai sebahagiaan daripada kutub Ketamadunan Islam, diwakili khususnya oleh Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Dengan memposisikan ASEAN sebagai watak ketamadunan bukan sebagai sampingan dalam percaturan geopolitik antarabangsa boleh membuahkan masa hadapan lebih cerah bagi semua pihak, tanpa terlalu bergantung kepada kuasa-kuasa besar lain.

PERADABAN ISLAM

Sumber kekuatan ASEAN yang sering diabaikan dalam konteks masa kini ialah peradaban Islam dan perkara ini mungkin disebabkan salah faham tentang hakikat Islam sebagai sebuah agama dan peradaban.

Pada hakikatnya, Islam di Asia Tenggara bukan kuasa hegemonik yang ingin menafikan variasi budaya dan agama lain tetapi sebagai pelengkap dan penyubur kepada kepelbagaian rantau. Ia juga perlu dengan keupayaan untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan setempat sekali gus memperkayakan kehidupan pada peringkat yang lebih luhur.

Fahaman seperti keadaan sesuatu pada tempat yang betul (‘adl), tindakan betul dan selaras dengan keadilan (adab) dan ilmu tentang kedudukan sesuatu perkara sebenar (hikmah) bukan sekadar konsep agama sempit tetapi panduan ketamadunan untuk pelbagai lapangan seperti tadbir urus, ekonomi, mahupun reka bentuk bandar.

Menghadapi cabaran seperti kezaliman sosioekonomi, kerosakan ekologi dan tekanan hidup melampau, ASEAN perlukan lebih daripada dasar teknokratik. Ia memerlukan sumber peradaban yang mendalam.

Dengan memanfaatkan hikmah ajaran agama-agama besar di rantau ini dan atas dasar persamaan pada peringkat adab serta amalan-amalan terpuji, ASEAN boleh menjadi contoh pada peringkat antarabangsa dari segi model kehidupan yang lebih seimbang, tenteram, indah juga bijaksana.

Dalam dunia yang sedang mencari arah baharu, ASEAN boleh menjadi suara alternatif dengan melihat agama dan ajaran-ajaran hikmah silam sebagai sumber kekuatan, bukan halangan kepada kemajuan atau berdasarkan ekonomi kapitalis sekular.

Kita mesti menolak model kemajuan yang tiada roh, bersifat eksploitasi dan meminggirkan ketenteraman manusia. Peradaban sejati, seperti diingatkan pemikir agung, Profesor Diraja Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, tidak diukur melalui kemajuan material semata-mata tetapi sebagai keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan luhur bagi seluruh masyarakat.

Faham ini turut terpaut dengan dengan pengertian sebenar keadilan dan adab dalam pandangan hidup Islam.

Untuk menjamin terzahirnya ASEAN sebagai watak ketamadunan untuk jangka masa panjang, ASEAN mesti melabur dalam pembangunan kepimpinan pemikiran yang akan mewarisi cara fikir ketamadunan-ketamadunan di Asia Tenggara.

Pada masa ini, pembangunan kepimpinan rantau ini banyak dibentuk melalui program pihak luar seperti inisiatif Jabatan Negara Amerika Syarikat (YSEALI). Walaupun mungkin ada manfaat tertentu, namun ia cenderung untuk mendakyahkan cara fikir Barat sekular yang tidak bertitik-tolak pada akar pandangan hidup dan sejarah serantau.

Sebagai alternatif strategik, dicadangkan penubuhan Program Felo Pemimpin Masa Depan Asia Tenggara ASEAN (ASEAN-YSELF), sebuah platform kepimpinan generasi baharu berpaksikan pandangan alam dan nilai ketamadunan serantau.

Untuk ASEAN berdiri sebagai watak ketamadunan dalam dunia multipolar, ia juga mesti yakin untuk mampu membentuk pemimpin masa hadapan berdasarkan warisan dan kerangka pemikiran kita sendiri, bukan meniru acuan asing.-UTUSAN

DR. Muhammad Syafiq Borhannuddin ialah Felow di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×