DALAM landskap pendidikan yang semakin mencabar dan kompleks, cadangan untuk mengubah minggu persekolahan pelajar kepada empat hari, manakala guru kekal bekerja lima hari, wajar diberi pertimbangan serius.
Dalam model ini, pelajar hadir ke sekolah selama empat hari untuk mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka, manakala hari kelima diperuntukkan untuk pembelajaran kendiri di rumah. Guru pula menggunakan hari kelima untuk menyiapkan bahan pengajaran, menanda buku, menghadiri mesyuarat, menyusun laporan dan menyelesaikan pelbagai urusan pentadbiran yang biasanya dilakukan di luar waktu rasmi bekerja.
Realiti semasa menunjukkan beban kerja guru semakin bertambah, bukan sahaja dari segi pengajaran, malah dari aspek pelaporan data, pentadbiran kurikulum, analisis pencapaian murid dan pelbagai program sekolah yang lain. Tanpa ruang khusus untuk menyelesaikan tugas-tugas ini, ramai guru terpaksa melakukannya pada waktu malam atau hujung minggu. Keadaan ini menjejaskan keseimbangan antara tugas dan kehidupan peribadi, sekali gus memberi tekanan emosi yang boleh menjejaskan kualiti pengajaran.
Dengan adanya hari khusus ini, murid dapat menyesuaikan diri untuk belajar secara berdikari, mengatur jadual sendiri dan mengembangkan kemahiran pengurusan masa yang penting untuk kehidupan dewasa kelak. Pelajar juga dapat memberi lebih perhatian kepada kerja rumah yang selalunya disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa pada waktu malam.
Ramai pelajar terpaksa menghadiri kelas tambahan, aktiviti kokurikulum dan kelas agama selepas waktu sekolah. Jadual harian menjadi sangat padat hingga menjejaskan waktu rehat dan tumpuan belajar. Hari kelima yang lebih fleksibel membolehkan pelajar berehat secukupnya, bangun sedikit lewat dan menumpukan kepada pengukuhan pembelajaran dalam suasana yang lebih santai dan terkawal. Keadaan ini dapat membantu menstabilkan emosi pelajar serta mengurangkan tekanan yang berpunca daripada beban kerja yang berlebihan.
Dari aspek pentadbiran pula, model ini membuka ruang untuk menyusun strategi pemantauan, perancangan aktiviti dan pelaksanaan program akademik secara lebih tersusun. Banyak mesyuarat atau bengkel yang biasanya diadakan selepas waktu sekolah boleh dialihkan kepada hari kelima. Ia dapat mengurangkan gangguan terhadap waktu pengajaran dan memberi lebih ruang kepada kesejahteraan guru. Pegawai pentadbir juga mempunyai masa.
Kejayaan pelaksanaan model ini sangat bergantung kepada disiplin kendiri pelajar serta penglibatan aktif ibu bapa. Ibu bapa perlu memastikan hari kelima tidak disalahgunakan untuk aktiviti yang tidak bermanfaat.
Selain itu, hari kelima juga boleh digunakan untuk memperkasa aktiviti kokurikulum dalam bentuk latihan dan pertemuan khas. Kelab dan persatuan boleh mengadakan bengkel dalam talian, latihan bertulis atau aktiviti perbincangan yang sesuai dilaksanakan tanpa perlu berada secara fizikal di sekolah. Ini menyemarakkan penglibatan pelajar dalam pembangunan sahsiah dan bakat tanpa perlu menggugat jadual akademik utama.
Sebagai langkah awal, pelaksanaan model ini boleh diuji secara rintis di sekolah tertentu dengan sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan. Kajian rapi perlu dijalankan bagi menilai kesan pelaksanaan terhadap prestasi akademik, tahap kesejahteraan pelajar dan guru, serta kesesuaian terhadap pelbagai latar belakang sekolah. Hasil dapatan boleh digunakan untuk penambahbaikan dan penyesuaian dasar sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Idea pelajar bersekolah empat hari seminggu manakala guru bekerja lima hari adalah satu usaha reformasi pendidikan yang berani dan progresif. Ia bukan sekadar mengubah struktur minggu persekolahan tetapi turut mencerminkan keperluan untuk menyusun semula fokus pendidikan kepada kualiti, keseimbangan dan kemanusiaan.
Dalam dunia yang serba cepat ini, sistem pendidikan yang fleksibel, manusiawi dan berkesan amat diperlukan untuk melahirkan generasi yang seimbang, cekap dan berjiwa besar.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan










