Pelajar sekolah agama perlu kuasai bahasa Arab

Pelajar sekolah agama perlu kuasai bahasa Arab

PELAJAR sekolah menengah agama (SMA) sewajarnya menjadikan bahasa Arab sebagai kebanggaan dan identiti diri, bukan beban atau sekadar syarat kurikulum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHASA Arab bukan sekadar bahasa komunikasi tetapi merupakan kunci utama dalam memahami ilmu-ilmu Islam yang bersumber daripada al-Quran dan hadis.

Bagi pelajar sekolah menengah agama (SMA), penguasaan terhadap bahasa Arab merupakan keperluan yang mendesak. Ini kerana segala asas pembentukan ilmu agama Islam bersumber daripada teks-teks berbahasa Arab yang memerlukan kefahaman mendalam dan teliti. Justeru, tanpa penguasaan yang baik terhadap bahasa ini, pelajar akan berdepan kesukaran dalam memahami intipati sebenar ajaran Islam.

Tambahan pula, untuk memahami kandungan wahyu Ilahi dengan tepat, seseorang perlu menguasai bahasa Arab dengan baik. Sekadar bergantung kepada terjemahan sahaja tidak memadai kerana boleh menimbulkan kekeliruan jika tidak disertai kefahaman terhadap konteks asal.

Dalam bidang hadis pula, penguasaan bahasa Arab amat penting bagi memahami matan hadis dan syarahannya. Banyak istilah teknikal dalam ilmu hadis seperti sanad, rawi, matan dan sebagainya hanya dapat difahami dengan baik melalui penguasaan bahasa Arab. Tambahan pula, ulama hadis terdahulu menulis karya dalam bahasa Arab. Maka, pelajar yang ingin mendalami ilmu hadis perlu menguasai bahasa ini agar mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada terjemahan yang kadang kala tidak menyampaikan maksud sebenar.

Selain itu, penguasaan bahasa ketiga ini membantu pelajar memahami karya-karya besar ulama Islam seperti Imam al-Ghazali, Ibn Khaldun, dan al-Shafi’i. Karya-karya agung ini ditulis dalam bahasa Arab klasik. Tanpa penguasaan bahasa Arab, pelajar akan ketinggalan dalam menikmati khazanah keilmuan Islam yang luas dan mendalam. Hal ini menyebabkan mereka sukar untuk meneliti hujah dan dapatan ilmu secara kritikal.

Dari sudut penghayatan ibadah pula, lafaz-lafaz dalam solat, bacaan doa, zikir dan wirid semuanya dalam bahasa Arab. Dengan memahami makna bacaan ini, pelajar akan dapat menghayati ibadah dengan lebih mendalam dan ikhlas. Ia bukan sekadar bacaan hafalan semata-mata tetapi komunikasi rohani dengan Allah yang penuh makna.

Di samping itu, bahasa ini juga menjadi jambatan penghubung antara pelajar dengan masyarakat Islam antarabangsa. Dengan menguasai bahasa Arab, pelajar mampu berkomunikasi dengan pelajar dan ulama dari Asia Barat dan negara-negara Arab lain. Ini membuka ruang perkongsian ilmu dan budaya yang lebih luas serta membina jaringan ukhuwah Islamiah sejagat.

Dari sudut akademik, penguasaan bahasa Arab memberi kelebihan kepada pelajar untuk menyertai pertandingan tilawah al-Quran, pidato bahasa Arab, perbahasan ilmiah dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja mencungkil bakat pelajar tetapi turut membina keyakinan diri dan kepetahan berbicara secara spontan. Ini membantu memperkasakan jati diri sebagai pelajar agama yang versatil dan berkualiti.

Tambahan pula, pelajar yang menguasai bahasa Arab berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) di negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan, Maghribi dan Arab Saudi. Negara-negara ini menawarkan pelbagai program pengajian Islam dan peluang biasiswa kepada pelajar asing.
Dalam dunia dakwah pula, bahasa ini merupakan senjata utama bagi pendakwah. Untuk menyampaikan dakwah dengan berkesan, pendakwah perlu merujuk nas-nas al-Quran dan hadis dalam bentuk asal. Kefasihan dalam bahasa Arab akan membolehkan pelajar menyampaikan hujah agama secara yakin, tepat dan berkesan kepada masyarakat. Ia juga mengelakkan penyebaran maklumat agama yang tidak sahih dan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Di Malaysia, terdapat permintaan tinggi terhadap pegawai syariah, guru bahasa Arab, penterjemah teks agama, penyunting bahan Islamik, pensyarah dan sebagainya. Majikan lebih cenderung memilih calon yang memiliki kelebihan dalam bahasa Arab kerana melambangkan kemahiran tambahan dan komitmen terhadap bidang keilmuan Islam.

Pelajar yang menguasai bahasa Arab juga lebih berdisiplin kerana mempelajari bahasa ini memerlukan latihan yang konsisten, kesabaran dan ketekunan. Proses menghafal mufradat (perbendaharaan kata), memahami nahu dan saraf, serta membaca teks-teks Arab asli mengasah ketekunan serta membina daya fikir kritis dalam kalangan pelajar. Ini menjadikan mereka pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam akhlak dan disiplin diri.

Menguasai bahasa Arab bukan sekadar untuk lulus peperiksaan tetapi sebagai amanah ilmu yang perlu dipikul. Pelajar SMA sewajarnya menjadikan bahasa Arab sebagai kebanggaan dan identiti diri, bukan beban atau sekadar syarat kurikulum.

Semoga usaha ini menjadi penyumbang kelahiran generasi rabbani yang memahami agama dengan sebenar-benarnya dan mampu membawa obor Islam ke seluruh pelosok dunia.-UTUSAN

MUHAMMAD HARRAZ SHAUQY MOHD HAFIZAN & MUHAMMAD ADIB NASRIL NIZAM
Sekolah Menengah Agama (SMA) AL ATTAS
Pekan, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×