Bekas PM Thailand dibicarakan atas tuduhan hina institusi diraja

Bekas PM Thailand dibicarakan atas tuduhan hina institusi diraja

THAKSIN SHINAWATRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, hadir memberi keterangan di mahkamah hari ini, dalam usaha membela diri daripada tuduhan menghina institusi diraja.

Thaksin berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun jika disabitkan kesalahan dalam perbicaraan tertutup di Bangkok, di mana beliau dituduh melanggar undang-undang ‘lese majeste’ yang melindungi keluarga diraja daripada penghinaan atau kritikan.

Selama lebih dua dekad, tokoh berusia 75 tahun itu, menjadi watak utama dalam politik Thailand, membina sebuah dinasti politik yang sering bertembung dengan elit pro-diraja dan pro-tentera.

Namun, menurut penganalisis, pendakwaan terhadap Thaksin, termasuk penggantungan tugas Perdana Menteri melibatkan anaknya, Paetongtarn, dua minggu lalu, mencerminkan kemerosotan ketara dalam pengaruh politik keluarga itu.

Kes pendakwaan berpusat pada kenyataan yang dibuat Thaksin kepada media Korea Selatan kira-kira sedekad lalu, dan beliau dijangka memberikan keterangan selama sekurang-kurangnya tiga hari.

Keputusan perbicaraan dijangka diumumkan dalam beberapa minggu lagi.

Peguam Thaksin, Winyat Chatmontri, memberitahu AFP bahawa anak guamnya memberi keterangan pada sebelah pagi dan akan meneruskannya sepanjang hari.

Kira-kira 50 penyokong Thaksin berkumpul di perkarangan mahkamah sambil memakai baju merah, tertera potret wajahnya.

Thaksin pulang ke Thailand pada Ogos 2023 selepas 15 tahun hidup dalam buangan, susulan rampasan kuasa tentera yang menggulingkannya daripada jawatan perdana menteri dimenanginya menerusi dua pilihan raya.

Beliau kembali ke Thailand pada hari partinya, Pheu Thai, membentuk kerajaan campuran dan mengambil alih tampuk pemerintahan, sekali gus mencetuskan spekulasi satu perjanjian sulit dicapai di belakang tabir.

Thaksin kemudian dijatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, namun hukuman itu dikurangkan kepada setahun selepas menerima pengampunan daripada Raja Maha Vajiralongkorn.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×