Johor tubuh jawatankuasa sistem kesihatan negeri

Johor tubuh jawatankuasa sistem kesihatan negeri

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jawatankuasa penambahbaikan, pengurusan dan pengoperasian fasiliti kesihatan termasuk hal ehwal hospital baharu akan ditubuhkan kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia adalah mekanisme penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan pelan tindakan bagi jangka masa pendek, sederhana serta panjang.

Katanya, perkara itu dipersetujui dalam pertemuannya dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Putrajaya, semalam bagi membincangkan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang dilaporkan serius dan kritikal di Johor.

“Pertemuan ini memberi fokus terhadap usaha memperkukuhkan pengoperasian tiga hospital utama iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai. Bagi penyelesaian jangka pendek, semua pihak bersetuju keperluan segera untuk mengisi kekosongan jawatan kritikal, menaik taraf infrastruktur serta memperbaiki fasiliti di hospital-hospital sedia ada,” katanya dalam hantaran di platform Facebook, hari ini.

Sebelum ini, Onn Hafiz membuat lawatan mengejut ke HSI bagi melihat keadaan semasa yang membimbangkan membabitkan beban tugas ditanggung petugas barisan hadapan kesihatan.

Antara isu utama yang dikenal pasti termasuk kekurangan petugas dalam pelbagai kategori kritikal seperti doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat dan anggota sokongan lain.

Sebagai contoh, di beberapa wad, seorang jururawat terpaksa menguruskan antara 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8.

Dalam pertemuan dengan Menteri Kesihatan, mereka turut bersetuju supaya Hospital Pasir Gudang (HPG) dan Klinik Kesihatan (KK) Cendana ditambah tenaga kerja serta peralatan sebelum mula beroperasi awal tahun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×