KUALA LUMPUR: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mencatatkan hampir lima juta pelayar menerusi Portal Digital JKKN sejak mula dibangunkan pada 2015.
Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, portal itu yang merangkumi dua komponen utama iaitu Pemetaan Budaya dan Rumah Seni dibangunkan bagi memberi akses mudah kepada masyarakat terhadap maklumat berkaitan seni, budaya dan warisan negara.
Katanya, pelaksanaan platform digital itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penggiat seni, malah bertujuan memperluas capaian maklumat seni dan warisan negara kepada masyarakat umum termasuk pelajar, penyelidik dan industri kreatif.
“Pendigitalan ini membolehkan seni budaya kita diakses oleh sesiapa sahaja, pada bila-bila masa dan dari mana-mana lokasi.
“Ia tidak lagi terhad kepada mereka yang berada dalam komuniti seni semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Portal Digital JKKN di sini hari ini.
Mengulas mengenai capaian mengikut kategori umur, Mohd. Amran berkata, golongan belia merupakan kumpulan paling ramai melayari portal tersebut sejak ia diwujudkan.
Katanya, pelaksanaan portal digital itu sememangnya menyasar generasi muda yang lebih celik teknologi dan mudah menerima maklumat secara dalam talian.
“Seperti yang kita tahu, generasi ini mudah akses maklumat di hujung jari. Dengan adanya pendekatan digital seperti ini, mereka boleh mengetahui elemen-elemen seni budaya yang terdapat di negara kita dengan lebih cepat dan mudah,” katanya.
Tambahnya, komponen Pemetaan Budaya dibangunkan sebagai pangkalan data bersepadu yang menghimpunkan artikel, gambar dokumentasi, video persembahan serta maklumat etnografi secara dalam talian.
“Sehingga kini, portal ini memuatkan lebih 5,000 artikel, 2,000 gambar serta hampir 200 video berkualiti tinggi melibatkan pelbagai tema seperti adat resam, busana tradisional, makanan warisan dan seni persembahan,” katanya.
Beliau berkata, komponen Rumah Seni merupakan platform interaktif yang memberi ruang kepada penggiat seni berdaftar untuk mempromosikan aktiviti, produk dan perkhidmatan masing-masing selain memohon insentif seni yang disediakan oleh JKKN.
“Setakat 30 Jun lalu, Rumah Seni telah mencatat lebih 25,000 pelayaran dengan sejumlah 1,098 profil penggiat seni, kumpulan, persatuan dan syarikat seni budaya yang telah berdaftar,” katanya.-UTUSAN










