RM29 juta naik taraf SK Pekan Lahad Datu 

RM29 juta naik taraf SK Pekan Lahad Datu 

AHMAD MASLAN - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHAD DATU: Projek Sekolah Daif Sabah 2020 bakal membawa nafas baharu kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Lahad Datu, antara sekolah tertua di daerah ini yang telah beroperasi sejak tahun 1937.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek bernilai RM29 juta itu merangkumi pembinaan semula 26 bilik darjah, empat unit rumah guru, bangunan pentadbiran serta kemudahan lain termasuk tandas dan tangki air.

“Projek ini dimulakan pada 5 April 2022 dengan kemajuan fizikal semasa sekitar 35 peratus. Ia dijangka siap sepenuhnya pada Julai tahun depan,” katanya semasa lawatan kerja ke sekolah tersebut, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan projek berdepan beberapa cabaran seperti kelewatan kerja awalan meroboh struktur lama, percanggahan antara dokumen tender dan lukisan pembinaan, serta kekangan pergerakan jentera akibat keadaan tapak yang sempit.

Justeru beliau menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia terus memantau rapi kemajuan projek dengan bekerjasama rapat bersama kontraktor dan melakukan libat urus serta pemeriksaan berterusan.

“Projek ini perlu disiapkan mengikut jadual, kos dan kualiti yang ditetapkan agar manfaatnya dapat dinikmati segera oleh komuniti setempat,” katanya.

Menurut Ahmad, matlamat utama projek ini ialah menyediakan bangunan yang lebih kondusif, selesa dan selamat, selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem pengajaran dan pembelajaran.

Projek ini dilaksanakan secara reka bentuk konvensional oleh kontraktor utama, Syarikat Pembinaan Bumi Daya Sdn. Bhd. dengan Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR bertindak sebagai agensi pelaksana.

SK Pekan Lahad Datu kini menampung lebih 1,900 murid dan dioperasikan dalam dua sesi persekolahan dengan seramai 119 guru serta 19 kakitangan sokongan. Bangunan sedia ada yang uzur tidak lagi sesuai digunakan dan pembinaan semula amat diperlukan demi kesejahteraan warga sekolah.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini