Sistem pertahanan harus kekal relevan seiring realiti semasa

Sistem pertahanan harus kekal relevan seiring realiti semasa

KONFLIK antarabangsa yang berlaku seperti di Ukraine, Gaza, ketegangan antara Iran-Israel, India-Pakistan dan pertikaian sempadan Thailand-Kemboja menjadi petunjuk jelas keperluan memiliki aset berteknologi tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CABARAN keselamatan masa kini menuntut pasukan keselamatan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tampil sebagai sebuah organisasi yang lebih proaktif, fleksibel dan beroreantasikan masa hadapan.

Dunia kini berdepan landskap keselamatan rumit, merangkumi konflik konvensional, ancaman asimetris seperti serangan siber, peperangan kognitif yang memanipulasi gaya pemikiran serta kemunculan teknologi disruptif khususnya melibatkan kecerdasan buatan (AI).

Justeru reformasi pertahanan strategik baharu perlu diperkasa demi melindungi kedaulatan dan keutuhan negara. Sistem pertahanan negara harus tidak lagi tertumpu kepada cara bertahan semata-mata, sebaliknya memiliki persediaan komprehensif, ketersediaan di tahap tertinggi serta kekal relevan seiring dengan realiti semasa.

Konflik antarabangsa yang berlaku seperti di Ukraine, Gaza, ketegangan di antara Iran-Israel, India-Pakistan dan pertikaian sempadan Thailand-Kemboja menjadi petunjuk jelas keperluan memiliki aset berteknologi tinggi bukan lagi pilihan sebaliknya keperluan mutlak. Isu ketidaktentuan di Laut China Selatan juga memerlukan negara lebih serius dari segi kesiapsiagaan dan kekuatan ketenteraan.

Pada masa ini Malaysia mungkin tidak memerlukan pelaburan bagi pembelian senjata pemusnah seperti kumpulan dron, sistem peluru berpandu jarak jauh dan sistem pemintas ancaman udara yang merupakan komponen utama perang di Asia Barat.

Namun bagi tempoh puluhan tahun akan datang jika dunia sudah tidak lagi mampu menangani krisis dan perebutan kuasa maka mahu tidak mahu sistem persenjataan negara perlu berubah mengikut trend peperangan semasa.

Lanskap konflik moden menyaksikan penggunaan dron menjadi norma baharu dengan penggunaan teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) digunakan secara meluas oleh kuasa besar dan negara terlibat konflik.

Cabaran Malaysia kini ialah bagaimana memanfaatkan hubungan baik dengan negara-negara lain untuk perkongsian teknologi persenjataan dan kerjasama dalam penerokaan inovasi operasi ketenteraan.-UTUSAN

MOHD SALLEH OSMAN
Banting, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×