PUTRAJAYA: Majlis Raja-Raja akan membuat keputusan berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman esok, sekali gus menamatkan segala persepsi berkaitan isu kebebasan badan kehakiman yang dibangkitkan sejak kebelakangan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengadakan perbincangan panjang bersama Majlis Raja-Raja pagi ini dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan.
“Kini, setelah lebih dua setengah tahun saya memegang jawatan, saya tidak pernah berbincang dengan mana-mana hakim tentang sebarang kes, tidak dengan Ketua Hakim Negara, mahupun dengan mana-mana hakim lain.
“Saya memegang teguh prinsip kebebasan badan kehakiman.
“Namun begitu, saya akui terdapat beberapa kebimbangan yang diluahkan dan saya ambil maklum akan perkara itu,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Integriti dan Tadbir Urus 2025 di sini, hari ini.
Anwar berkata, kebimbangan itu timbul akibat kelewatan pelantikan hakim serta tanggapan bahawa terdapat pelantikan ke jawatan penting dalam badan kehakiman yang mungkin dikompromi, dengan pencalonan calon-calon yang dipersoalkan oleh sesetengah pihak.
Perdana Menteri memberi jaminan, perkara itu tidak berlaku seperti tanggapan pihak-pihak tertentu.
“Saya percaya rakan-rakan dalam bidang perundangan memahami bahawa kita mesti bertindak berdasarkan undang-undang dan fakta, bukan berdasarkan persepsi.
“Soal persepsi itu kita serahkan kepada ahli politik. Hanya dengan cara ini kita boleh terus mentadbir negara dengan baik.
“Insya-Allah, esok akan ada satu pengumuman yang bakal menepis segala persepsi negatif yang tersebar,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan Madani mewarisi sistem dalam keadaan ketika wujud banyak perbincangan mengenai rasuah yang berleluasa dan tadbir urus yang lemah, maka tiba masanya untuk melaksanakan semua perubahan yang perlu.
Beliau turut mengulas persepsi yang timbul berkaitan proses pelantikan dalam badan kehakiman yang dikaitkan dengan tekanan politik.
“Saya harap perkara ini tidak menjejaskan kedudukan Majlis Peguam, kerana mereka berpegang kepada prinsip.
“Walaupun saya telah menafikan dakwaan-dakwaan tersebut dengan tegas, masih ada sebahagian daripada mereka yang tidak berpuas hati, mungkin disebabkan oleh permainan politik.
“Tetapi kini, apabila dakwaan itu ternyata tidak benar, saya tidak mahu mereka berkata, ‘Tidak, tidak… kerajaan tunduk kepada tekanan’.
“Azalina (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said) tahu, Ketua Setiausaha Negara juga tahu bahawa tiada sebarang nama yang dikatakan kontroversi atau diragui pernah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja,” katanya.
Sebelum ini, Majlis Peguam menggesa kerajaan agar menyelesaikan dengan kadar segera empat tuntutan dalam memorandum yang diserahkan termasuk mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman. – UTUSAN











