PERTH: Pengembara warga Jerman, Carolina Wilga yang hilang selama 11 hari di kawasan gurun terpencil Australia Barat mendedahkan dia meninggalkan kenderaannya dalam keadaan keliru selepas mengalami kecederaan kepala akibat kemalangan jalan raya.
Dalam kenyataan pertamanya pada Isnin, selepas diselamatkan oleh seorang wanita tempatan bernama Tania pada petang Jumaat, Wilga, 26, menjelaskan insiden yang membawa kepada kehilangannya.
“Sesetengah orang mungkin tertanya-tanya mengapa saya tinggalkan kereta walaupun ada bekalan air, makanan dan pakaian.
“Jawapannya, saya hilang kawalan dan kenderaan saya terjunam ke cerun. Dalam kemalangan itu, saya mengalami hentakan kuat di kepala dan saya tinggalkan kereta dalam keadaan keliru dan tersesat,” jelasnya.
Pencarian besar-besaran dilancarkan selepas keluarga dan rakan-rakannya melaporkan kehilangan Wilga yang kali terakhir dilihat pada 29 Jun ketika mengunjungi sebuah kedai di bandar kecil Beacon, kira-kira 300 kilometer (km) timur laut Perth.
Pasukan polis bersama sukarelawan dikerahkan dengan bantuan udara dan darat menjelajah kawasan Wheatbelt yang luas dan terpencil.
Pada Khamis, van Mitsubishi milik Wilga ditemui dalam keadaan tenggelam dalam lumpur dan ditinggalkan di Karroun Hill, kira-kira 150km dari Beacon.
Keesokan harinya, dia ditemui kira-kira 24km dari lokasi kenderaan itu dalam keadaan lemah, keletihan dan penuh gigitan nyamuk.
Pegawai Penyiasat Tugas WA, Detektif Inspektor Jessica Securo berkata Wilga dipercayai hilang kawalan semasa memandu dan kenderaannya kemudian mengalami kerosakan serta tersangkut di kawasan berlumpur.
“Kami tidak pernah berputus asa untuk hasil yang positif. Kawasan itu sangat luas dan mencabar. Ia boleh menjadi sangat berbahaya jika anda tidak tahu arah atau keadaan sekeliling, dan amat mudah untuk tersesat,” katanya kepada media.
Menurut Securo, Wilga hanya tinggal sehari di keretanya sebelum panik dan cuba mencari pertolongan.
Dia berpandukan kedudukan matahari untuk berjalan ke arah barat dengan hanya membawa sedikit bekalan makanan dan air.
Untuk meneruskan hidup, Wilga meminum air hujan dan dari lopak selain turut mencari perlindungan dalam sebuah gua. – AGENSI










