KUALA NERUS: Seorang lelaki warga Rohingya ditahan selepas dikesan memandu kenderaan tanpa lesen dalam satu operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa di sekitar daerah ini, hari ini.
Pengarah Imigresen negeri, Mohd. Yusri Mohd. Nor berkata, lelaki terbabit diberkas ketika pemeriksaan di kawasan berhampiran Terminal Bas Kuala Terengganu dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan lanjut.
“Tindakan ini adalah hasil risikan dan aduan awam berhubung keberadaan warga asing yang menjalankan aktiviti tanpa kebenaran termasuk memandu kenderaan secara haram.
“Kita ambil serius perkara ini kerana ia melibatkan aspek keselamatan dan undang-undang negara. Tiada kompromi terhadap warga asing yang melanggar peraturan,” katanya ketika ditemui selepas Op Belanja, Mahir dan Minyak di Bukit Jong, di sini.
Operasi tersebut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta JPJ.
Sebanyak 12 premis diperiksa manakala lebih 120 individu termasuk warga tempatan dan asing diperiksa sepanjang operasi berkanaan. Hasilnya, 11 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen membabitkan seorang wanita warga Indonesia, tiga lelaki Myanmar dan tujuh lelaki Bangladesh berusia antara 22 hingga 40 tahun.
Tiga individu ditahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah, seorang lagi atas kesalahan tinggal lebih masa bawah Seksyen 15(1)(c) manakala tujuh individu disiasat bawah Peraturan 39(b) kerana menyalahgunakan pas lawatan.
MBKT pula mengeluarkan tiga kompaun melibatkan satu kes tiada lesen perniagaan dan dua kes berkaitan kebersihan premis. Sementara itu, KPDN turut mengeluarkan dua kompaun bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 selain satu sitaan dibuat di bawah Akta Bekalan 1961 melibatkan barang kawalan yang dijual tanpa kebenaran.










