BAGHDAD: Kerajaan Iraq mengumumkan rancangan membina 10 empangan di kawasan gurun sebagai usaha segera meningkatkan keselamatan bekalan air negara itu akibat terburuk dan penyusutan paras sungai utama.
Menteri Sumber Air Iraq, Awn Dhiab Abdullah berkata, empangan-empangan itu akan menadah air banjir dan air hujan di kawasan gurun untuk dijadikan simpanan strategik, terutamanya di wilayah yang kekurangan sumber air permukaan.
“Kekurangan air yang dialami negara ketika ini adalah yang paling kritikal dalam sejarah, memaksa 12 wilayah bergantung sepenuhnya kepada air bawah tanah bagi menampung keperluan harian mereka,” katanya pada Isnin.
Sungai Tigris dan Euphrates yang menjadi nadi kehidupan kepada berjuta penduduk Iraq, kini terjejas teruk akibat perubahan iklim dan pembinaan empangan oleh negara jiran seperti Turkiye.
Penyusutan aliran sungai tersebut memberi kesan mendalam terhadap sektor pertanian dan bekalan air domestik.
Wilayah Dhi Qar di selatan Iraq mengalami musim panas paling teruk dalam rekod dengan kekurangan air yang melampau memaksa hampir 10,000 keluarga luar bandar meninggalkan kediaman mereka dan berpindah ke kawasan bandar.
Abdullah menambah bahawa lebih separuh kawasan gurun Iraq kini bergantung sepenuhnya kepada air bawah tanah.
Justeru, beliau menegaskan keperluan mendesak untuk membangunkan projek tadahan air hujan bagi mengurangkan pergantungan kepada sumber tradisional yang semakin menyusut.











