DAMSYIK: Tiga orang terbunuh manakala 34 lagi cedera dalam serangan udara besar-besaran yang dilancarkan oleh Israel terhadap ibu pejabat Kementerian Pertahanan Syria di tengah bandar Damsyik, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Syria.
Serangan itu turut menyasarkan kawasan berdekatan istana presiden, menjadikannya antara tindakan paling berani oleh Israel terhadap pusat pemerintahan Syria dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Rakaman televisyen menunjukkan bangunan kementerian musnah teruk, dengan asap tebal membumbung dan serpihan berterbangan ke udara akibat letupan.
Israel mendakwa serangan itu bertujuan menghalang usaha penempatan semula pasukan rejim Syria ke wilayah Sweida iaitu kawasan majoriti Druze yang kini bergolak susulan pertempuran antara kumpulan Druze, komuniti Bedouin, dan tentera kerajaan.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, memberi amaran “amaran di Damsyik telah tamat dan kini masanya untuk serangan yang menyakitkan,” sambil menegaskan komitmen Israel untuk melindungi masyarakat Druze di Syria.
Serangan tersebut berlaku ketika ketegangan memuncak di Sweida, di mana lebih 250 orang dilaporkan terkorban sejak hujung minggu lalu. Hospital utama di wilayah itu juga dilaporkan diserang oleh kereta kebal kerajaan.
Israel telah lama melihat dirinya sebagai pelindung kepada masyarakat Druze, yang juga merupakan sebahagian daripada populasi di Israel dan Dataran Tinggi Golan yang diduduki.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan Israel “tidak akan membenarkan masyarakat Druze diserang dan akan bertindak tegas terhadap sebarang cubaan sedemikian.”
Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan bahawa Israel mungkin semakin terjerumus dalam ketidakstabilan Syria pasca pemerintahan Bashar al-Assad.
Sementara itu, Amerika Syarikat menggesa semua pihak agar menghentikan keganasan dan segera memulakan rundingan damai.











