Selamatkah basdan lori kita?

Selamatkah bas dan lori kita?

UNDANG-UNDANG wajib dikuatkuasa dan teknologi keselamatan tidak boleh menjadi pilihan tetapi peraturan bagi memastikan episod duka melibatkan bas dan lori tidak berulang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSIDEN ngeri menimpa mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu, bukan sekadar episod duka yang terpahat dalam lipatan berita semata-mata. Ia merupakan manifestasi nyata kegagalan struktur pengurusan operasi kenderaan berat sejak sekian lama yang jelas membuktikan kelemahan pelaksanaan dasar, kepatuhan dan budaya keselamatan.

Dalam tempoh tiga bulan pertama 2024 sahaja, sebanyak 652 kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti bas ekspres, lori dan kontena direkodkan. Insiden ini mengorbankan 287 nyawa, cedera secara serius (95) dan cedera ringan (270). Antara punca utama termasuk keletihan pemandu, pemanduan laju dan penyelenggaraan kenderaan yang tidak mencukupi.

Statistik kemalangan jalan raya sejak lebih sedekad lalu menunjukkan corak berulang. Berdasarkan data dari 2013 hingga 2025, sebahagian besar insiden tragik berlaku antara jam 12 malam hingga 6 pagi, dengan faktor keletihan pemandu, kegagalan sistem brek dan muatan berlebihan dikenal pasti sebagai punca utama.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) membangunkan Modul Pemanduan Selamat dan Defensif (SDDP) untuk pemandu kenderaan berat. Modul ini merangkumi aspek penting seperti undang-undang jalan raya, penyelenggaraan kenderaan dan pencegahan kemalangan.
Walaupun sebilangan syarikat melaksanakannya namun, penerapan secara menyeluruh masih kurang memberangsangkan.

Ketiadaan atau ketidakfungsian sistem pemantauan seperti sistem pengesanan global (GPS), tali pinggang keledar serta kenderaan yang tidak diselenggara secara berkala bukan sekadar pelanggaran undang-undang tetapi pengkhianatan terhadap keselamatan awam.

Beberapa negara maju mengambil langkah proaktif melalui pendekatan sistemik dan teknologi canggih bagi meningkatkan tahap keselamatan kenderaan berat.

Di Turkiye, kerajaan mewajibkan pelaksanaan Sistem Pemantauan dan Penyeliaan Elektronik Pengangkutan (U-ETDS) sejak 2024 yang merekodkan maklumat penting seperti nombor plat, kelajuan kenderaan, lokasi hentian, tempoh rehat pemandu serta data penumpang bagi setiap perjalanan. Selain itu, semua bas antara bandar dilengkapi kamera pemantauan (M-NVR) dan dipantau secara langsung oleh pusat operasi, menjadikan pengawasan lebih telus serta berkesan.

Kesatuan Eropah (EU) pula menetapkan penggunaan tachograph digital yang merekodkan secara automatik tempoh pemanduan, waktu rehat dan jarak perjalanan bagi semua pemandu kenderaan berat. Peraturan EU juga mengenakan had ketat terhadap tempoh pemanduan maksimum dan rehat minimum bagi memastikan pemandu sentiasa berada dalam keadaan cergas dan selamat.

Di Amerika Syarikat (AS), penggunaan Peranti Pembalakan Elektronik (ELD) diwajibkan untuk semua pemandu lori yang beroperasi antara negeri. ELD disambungkan terus ke enjin kenderaan dan menghantar data secara langsung kepada pengurus armada, membolehkan pemantauan waktu kerja, status penyelenggaraan dan penggunaan bahan api secara optimum.

Pendekatan ini menunjukkan pemantauan masa nyata dan automasi rekod merupakan teras penting dalam mengurus risiko industri pengangkutan berat.

Beberapa negara maju menunjukkan bagaimana pendekatan sistemik, berasaskan data dan teknologi tinggi mampu meningkatkan keselamatan pengangkutan berat.

Jepun, mengaplikasikan pendekatan Rancang-Buat-Periksa-Tindakan (PDCA) dalam pelaksanaan dasar keselamatan yang berterusan dengan penetapan sasaran berdasarkan analisis kemalangan sebenar serta integrasi aspek manusia, infrastruktur dan kenderaan.

Teknologi seperti sistem pemantauan pemandu berasaskan kecerdasan buatan (AI) oleh syarikat Macnica membolehkan pengesanan awal tanda mengantuk tanpa melanggar privasi, sekali gus mencegah insiden lebih awal.

Di Malaysia, Kod Amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 diwujudkan sebagai panduan keselamatan, namun cabaran utama terletak pada aspek pelaksanaannya yang masih longgar.

Antara langkah penting yang perlu diperkukuh termasuklah pelaksanaan wajib Kerangka Pengenalpastian Bahaya, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) serta latihan keselamatan berkala. Langkah-langkah ini tidak seharusnya hanya disyorkan tetapi dikuatkuasakan secara mandatori ke atas semua syarikat pengangkutan jalan.

Sebagai usaha memperkukuh sistem sedia ada, beberapa saranan dasar wajar dipertimbangkan pihak berkuasa. Antaranya termasuk keperluan mandatori bagi semua kenderaan berat dipasang sistem GPS dan kamera pemantauan dalaman bagi memantau kelajuan, corak pemanduan dan waktu rehat pemandu secara masa nyata.

Latihan keselamatan berstandard nasional berasaskan modul SDDP dan audit keselamatan berkala menggunakan kerangka HIRARC perlu dikuatkuasakan. Peraturan keselamatan kenderaan juga harus diperketat, termasuk memwajibkan pemasangan tali pinggang keledar di semua tempat duduk serta memastikan fungsi GPS kekal aktif sepanjang operasi.

Selain itu, peningkatan aspek penguatkuasaan dan penalti terhadap pelanggaran peraturan. Pelaporan GPS secara berkala kepada agensi penguatkuasa boleh dijadikan asas pemantauan berpusat.

Dalam masa sama, kerajaan juga wajar menggalakkan pemodenan armada melalui penggunaan teknologi hijau dan ciri keselamatan tinggi seperti yang diamalkan.

Sudah tiba masanya Malaysia tidak hanya bertindak selepas tragedi berlaku. Undang-undang wajib dikuatkuasa dan teknologi keselamatan tidak boleh menjadi pilihan tetapi peraturan.-UTUSAN

NOOR ASLINDA ABU SEMAN
Johor Business School,
Universiti Tun Hussein Onn (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×