PETALING JAYA: Tempahan penginapan yang meragukan dan wang sara diri yang tidak mencukupi antara pelanggaran syarat kemasukan warga asing dikesan masuk negara ini.
Dalam operasi yang dijalankan bermula 3 petang hingga 10 malam pada Jumaat lalu, lebih 300 warga asing diperiksa di Balai Ketibaan Antarabangsa dan Pintu Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkata, pihaknya telah menolak kemasukan 131 warga asing di Terminal 1 KLIA kerana didapati gagal memenuhi syarat kemasukan negara pada Jumaat lalu.
Katanya, seramai 96 lelaki Bangladesh, 30 lelaki Pakistan serta lima warga Indonesia yang merangkumi empat lelaki dan seorang wanita didapati tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.
“Antara pelanggaran syarat kemasukan yang dikenal pasti termasuklah tempahan penginapan yang meragukan, kegagalan melapor diri di kaunter Imigresen dan membawa wang sara diri yang tidak mencukupi.
“Isu kewangan ini adalah penunjuk utama niat sebenar pelawat. Sebagai contoh, ada yang mendakwa ingin tinggal selama sebulan (di Malaysia) tetapi hanya membawa wang sekitar RM500, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap tujuan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ia selaras dengan prinsip imigresen antarabangsa di mana pelawat mesti membuktikan mereka tidak akan menjadi beban kepada negara yang dikunjungi.
Jelasnya, AKPS menegaskan bahawa keselamatan dan kedaulatan sempadan negara terus menjadi keutamaan dan sebarang percubaan untuk masuk ke negara ini melalui pemalsuan dokumen atau tujuan yang meragukan akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
“Justeru, semua pelawat asing dinasihatkan agar memastikan dokumen perjalanan, perancangan penginapan serta sumber kewangan mereka adalah lengkap, tulen dan munasabah sebelum tiba di Malaysia,” katanya.-UTUSAN











