MELAKA: Semua mesyuarat sekolah dilaksanakan secara menyeluruh dalam satu sesi sahaja melibatkan pentadbiran, kurikulum dan hal ehwal murid.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, ia antara usaha mengurangkan beban tugas guru melalui pendekatan strategik termasuk penyelarasan aktiviti dan penegasan peranan pentadbir sekolah.
Beliau berkata, aktiviti yang tidak memberi impak langsung kepada pembelajaran diminta dihentikan serta-merta bagi memastikan fokus pengajaran tidak terganggu.
“Hanya sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan kebangsaan sahaja dibenarkan manakala acara di peringkat daerah atau negeri diminta dihentikan. Sambutan peringkat negeri pun sebenarnya hanya berbentuk bicara profesional dan pemberian anugerah guru, bukan acara besar-besaran.
“Kita mahu elakkan guru terbeban dengan persiapan yang memakan masa. Guru mesti diberikan masa yang cukup untuk melaksanakan Melindungi Masa Instruksional (MMI). Fokus kita ialah memastikan murid mendapat hak pendidikan sebaiknya.
“Pengetua dan guru besar perlu berada di sekolah, bukan hanya mengurus dari jauh. Mereka kena pastikan strategi sekolah berjalan dengan tersusun,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Program Mahrajan al-Quran Sekolah-sekolah (MQSS) Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025 di Politeknik Merlimau di sini, hari ini.
Mohd. Azam berkata, semua langkah itu selari dengan penekanan tujuh inisiatif diperkenalkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam usaha memastikan guru dapat fokus kepada tugas hakiki.
Katanya, antaranya penulisan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dihadkan kepada tiga komponen utama sahaja iaitu tajuk, objektif dan refleksi. – UTUSAN











