AUCKLAND, NEW ZEALAND: Malaysia-New Zealand mensasarkan untuk meningkatkan perdagangan dua hala sebanyak 50 peratus dalam jangka masa lima tahun ke hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu bukan sahaja mampu dicapai bahkan penting buat kedua-dua negara untuk mempertingkatkan daya tahan serantau yang semakin kritikal.
Beliau berkata, tahun lalu, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan New Zealand telah mencapai RM10.72 bilion (USD2.34 bilion) menjadikan Malaysia sebagai rakan perdagangan ASEAN kedua terbesar New Zealand.
Katanya lagi, angka itu bukan sekadar statistik sebaliknya ia mencerminkan keyakinan, keterhubungan dan komitmen ekonomi antara kedua-dua negara.
“Perjanjian seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-New Zealand yang membenarkan 99.8 peratus eksport New Zealand masuk ke Malaysia tanpa cukai serta AANZFTA (Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand) telah meningkatkan eksport New Zealand ke ASEAN hampir 60 peratus sejak 2010.
“Malaysia juga telah menggandakan penggunaan manfaat AANZFTA, dari RM5.8 bilion pada 2016 kepada RM12.9 bilion pada 2023.
“Dengan penambahbaikan terkini kepada AANZFTA dan momentum melalui RCEP (Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau) kita kini berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membina sistem perdagangan adil, moden dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada sesi libat urus Majlis Perniagaan ASEAN-New Zealand, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, melihat ke depan, terdapat tiga bidang yang berpotensi untuk diterokai dan diperluaskan iaitu kemampanan, transformasi digital dan keselamatan makanan.
Katanya, New Zealand dengan 87 peratus tenaga elektriknya daripada sumber boleh diperbaharui adalah peneraju dalam peralihan tenaga.
“Ini seiring dengan komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050 dan terdapat ruang kerjasama yang luas dalam tenaga bersih, pasaran karbon dan teknologi rendah karbon.
“Dari sudut digital, agenda MyDIGITAL Malaysia melengkapi kekuatan New Zealand dalam ICT, membuka peluang kerjasama menarik dalam AI (Kecerdasan Buatan) bandar pintar, keselamatan siber dan tadbir urus perdagangan digital.
“Sektor agromakanan juga menawarkan potensi besar. Dengan pertumbuhan kelas pertengahan ASEAN dan perubahan corak penggunaan, reputasi New Zealand dalam kualiti, kebolehkesanan dan inovasi sangat sesuai dengan kekuatan Malaysia dalam pensijilan halal dan logistik serantau,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pertumbuhan ekonomi mesti bersifat inklusif supaya dapat memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh ASEAN termasuk di Malaysia tidak tercicir.
“Ini termasuk meningkatkan akses kepada pembiayaan perdagangan, alat digital dan pembangunan kapasiti.
“Yang paling penting perkongsian ekonomi kita mesti terus berasaskan hubungan kemanusiaan. Beribu-ribu pelajar Malaysia telah menuntut di New Zealand dan pelancongan antara negara kita terus berkembang.
“Pertukaran ini bukan sahaja menyentuh hati, malah menjadi pemangkin kepada hubungan ekonomi yang utuh, membina kepercayaan dan mewujudkan kefahaman jangka panjang,” katanya. – UTUSAN











