Ubat-ubatan, herba seludup bernilai RM305,161 dirampas - Utusan Malaysia

Ubat-ubatan, herba seludup bernilai RM305,161 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak melumpuhkan kegiatan penyeludupan produk ubat-ubatan/ herba hasil pemeriksaan ke atas sebuah Land Rover di Daerah Bau pada 11 Julai lalu.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Che Ghazali Che Awang berkata kenderaan itu ditahan oleh pasukan dari Infantri Batalion 11 PGA Kuching kira-kira pukul 7 pagi kerana disyaki membawa produk berkenaan tanpa kelulusan yang sah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pasukan serbuan telah menahan
seorang lelaki warga tempatan berumur 62 tahun dan hasil pemeriksaan lanjut
menemukan sebanyak 4,032 kotak produk ubat-ubatan / herba pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM305,161,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Bau dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Peraturan 7(1)(A) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984
,Akta Jualan Dadah 1952, Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sarawak
1958 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Che Ghazali berkata dua tangkapan turut dilakukan ke atas sindiket penyeludupan produk makanan sejuk beku masing-masing di Sibu dan Bau.

Katanya di Sibu, tangkapan dilakukan oleh
Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu kira-kira pukul 10.30 pagi, 8 Julai lalu hasil pemeriksaan ke atas sebuah Toyota Hilux dan sebuah premis, sekali gus menemukan sebanyak 238 kilogram produk makanan sejuk beku pelbagai jenis yang berada di belakang muatan kenderaan serta sekitar premis tersebut.

Beliau menambah pasukan serbuan turut menahan seorang lelaki warga tempatan serta seorang lelaki warga Indonesia berumur 24 dan 40 tahun, serta merampas Toyota Hilux serta forklift dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM479,099.

Manakala di Bau, katanya tangkapan dilakukan oleh pasukan Infantri Batalion 11 PGA Kuching kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 7 Julai lalu hasil penahanan ke atas sebuah lori yang disyaki membawa 350 kotak produk makanan sejuk beku tanpa permit yang sah, dengan anggaran nilai RM209,600.

Sementara itu, Che Ghazali berkata tiga sindiket penyeludupan diesel di Daerah Lundu, Kota Samarahan dan Kuching turut berjaya digempur, dengan dua daripadanya diserbu pada 9 Julai lalu antara pukul 7 pagi dan 1 petang.

Katanya tangkapan pertama dibuat hasil pemeriksaan ke atas sebuah Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 34 tahun di Daerah Lundu yang disyaki membawa sebanyak 230 liter diesel dan 10 unit tong jerikin tanpa permit yang sah, dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM81,155.

Menjelas lanjut, beliau berkata tangkapan kedua dibuat pada pukul 1 petang hasil serbuan ke atas sebuah premis di Kota Samarahan sekali gus menahan dua lelaki tempatan berumur 26 dan 32 tahun serta merampas 18,000 liter diesel dan 17 unit tangki IBC termasuk sebuah lori tangki, dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM218,840.

Che Ghazali menambah tangkapan ketiga dibuat pada pukul 12.30 tengah hari, 10 Julai lalu hasil serbuan ke atas sebuah premis di Kuching dan menemukan sebanyak 4,500 liter diesel, 13 unit tangki IBC, dua unit skid tank,25 unit hos pvc pelbagai saiz serta dua unit enjin pam minyak yang berada di sekitar premis tersebut.

Katanya pasukan serbuan turut menahan dua
lelaki tempatan berumur 28 dan 33 tahun serta merampas sebuah lori tangki, dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM381,060. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini